Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas ahli dakwa tapak surau, kuil dipindah ke syarikat berkaitan MIC

Bekas ketua bahagian MIC Sungai Siput M Lokanathan membuat laporan polis mendakwa beberapa bidang tanah yang diperuntukkan bagi kemudahan infrasktruktur di Taman Tun Sambanthan, Sungai Siput, Perak telah ditukar hak miliknya kepada sebuah syarikat perladangan swasta yang berkaitan parti itu.

Menurutnya, antara tapak yang telah dipindah milik itu termasuk untuk pembinaan sebuah surau, kuil balai raya, sub stesen LLN (Lembaga Letrik Negara), pasar, dan tanah rizab untuk institut latihan belia pada tahun 2004 ketika di bawah kerajaan BN kepada syarikat perladangan yang ditubuhkan oleh MIC pada lewat tahun 60an.

"Sebenarnya, saya ke pejabat tanah di mukim Kuala Kangsar berurusan satu kes tanah.

"Tetapi, saya rasa terkejut selepas mendapati tapak-tapak yang sebelum ini digazet untuk pembinaan pasar, tempat ibadat dan institut latihan belia dipindah milik hak ke atas syarikat itu.

"Lebih pelik, tapak yang telah membina balai raya, surau, sub stesen LLN turut dipindah milik," katanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini telah menghubungi syarikat perladangan berkenaan untuk mendapatkan penjelasan tetapi masih belum mendapat ulasan mereka.

Menurut Lokanathan, tapak-tapak berkenaan digazet sebagai sebahagian daripada kemudahan infrastruktur kepada penduduk ketika kawasan perumahan Taman Tun Sambanthan di Sungai Siput dibangunkan sekitar tahun 1978.

"Asalnya, ia untuk kemudahan orang ramai. Walaupun, ia telah digazet pada tahun 1978, sebahagian daripadanya tak pernah dibangunkan oleh kerajaan BN sebelum ini.

"Jadi, bagaimana, boleh ditukar milik? Siapa dalang di belakang ini?" soalnya.

"Walaupun, ini isu lama, saya harap Menteri Besar Perak (Ahmad Faizal Azumu) dapat menyiasat kerana ia melibatkan kepentingan orang ramai di Sungai Siput khususnya penduduk Taman Tun Sambanthan," katanya.

Lokanathan juga menunjukkan pelan Sungai Siput dan dokumen Catatan Carian Persendirian daripada Pejabat Tanah Mukim Kuala Kangsar sebagai bukti dakwaannya.

Dokumen-dokumen yang turut dilihat Malaysiakini itu dicatat sebagai tempat ibadat bukan Islam (PT12184), rizab latihan belia (PT12193), balai raya (PT12195), pasar (PT12196), LLN (PT12197) dan surau (PT12200) dalam pelan kawasan Sungai Siput.

Dokumen Catatan Carian Persendirian dikeluarkan oleh pejabat tanah menunjukkan semua tapak hanya berukuran 111.5 meter persegi telah dipindah milik hak kepada syarikat perladangan itu pada 12 Ogos 2004 walaupun saiz asal setiap tapak ini berbeza.

"Nampaknya, syarikat itu telah memecahkan tapak ini kepada lot kecil untuk tujuan tertentu.

"Kategori kegunaan tanah juga telah ditukar kepada untuk pembinaan bangunan (kediaman-kediaman kos rendah)," katanya.

"Saya nak MB Perak dan pihak polis mengambil langkah sewajarnya," tambahnya lagi.

Sementara itu, ketika dihubungi, bekas exco kerajaan negeri Perak, A Sivanesan berkata bahawa sepanjang pengetahuannya, syarikat perladangan itu tidak pernah memberi sebarang tanah alternatif sebelum memindah hak milik tapak-tapak tersebut.

"Kebiasaanya, kalau sesebuah syarikat ingin membeli tanah atau tapak yang digazet untuk kemudahan awam, akan memberi tanah alternatif lain sebelum mengambil alih. Dalam kes ini, setahu saya tidak ada tanah alternatif diberikan," katanya.

Adun Sungkai itu juga memberitahu bahawa kerajaan negeri Perak di bawah Pakatan Harapan, pada tahun lalu menolak cadangan pembinaan kawasan perumahan di situ.

"Tahun lepas, sebuah syarikat pembangunan yang diketuai oleh seorang pemimpin MIC, membuat permohonan untuk cadangan pembinaan rumah di dua daripada enam tapak dimaksudkan.

"Tapi, kerajaan negeri menolak," katanya.

Ketika dihubungi, Menteri Besar Perak, berkata, beliau akan menyiasat dakwaan itu sebelum memberi sebarang ulasannya.

Lihat Komen
ADS