Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Jumlah kes aktif kini bawah 100
Diterbitkan:  Jul 2, 2020 5:23 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini kurang daripada 100 kes dengan hanya 85 pesakit dirawat, kata ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Angka ini merupakan kes aktif paling rendah direkodkan sejak 9 Mac lalu.

Menurut Noor Hisham, seramai 62 pesakit telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang telah pulih dan keluar daripada wad adalah seramai 8,437.

Sementara itu, sehingga 12 tengah hari ini, hanya tiga kes baru direkodkan membabitkan satu kes import dan dua jangkitan dalam negara.

"Kedua- dua kes penularan di dalam negara pula adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia dan tiada kes di kalangan warganegara Malaysia dilaporkan pada hari ini," katanya dalam kenyataan.

Dua kes jangkitan dalam negara itu membabitkan seorang tahanan lokap di Sabah dan satu lagi kes daripada kluster Bukit Bintang.

Berkaitan kluster Bukit Bintang, Noor Hisham berkata kes kumulatif kluster berkenaan kini adalah sebanyak 11 kes dengan penambahan satu lagi kes terbaru.

"Setakat ini, seramai 304 orang telah disaring, di mana 204 orang adalah bukan warganegara dan 100 adalah warganegara Malaysia. Daripada jumlah ini, 293 orang adalah negatif Covid-19," katanya.

Menurut Noor Hisham, masih terdapat dua kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini dengan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 kekal sebanyak 121 kes.

Sementara itu, daripada sejumlah 5,804 individu yang diletakkan di bawah perintah kuarantin di rumah, 620 orang masih perlu menjalani ujian Covid-19 pada hari ke-13.

 

Lihat Komen
ADS