Malaysiakini
BERITA

Malaysia terus sokong perjuangan rakyat Palestin - PM

Bernama

Diterbitkan

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa Malaysia akan terus memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin dan menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera mencari penyelesaian terbaik kepada pelan damai di wilayah itu.

"Marilah bersama-sama kita berdoa agar permasalahan dan persengketaan di wilayah bergolak itu dapat diselesaikan secara aman. Insya-Allah.

"Pada kesempatan ini, saya juga ingin menegaskan bahawa Malaysia akan terus memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin. Saya menggesa masyarakat antarabangsa khususnya PBB agar segera mencari penyelesaian terbaik kepada pelan damai di wilayah itu," katanya dalam catatan laman Facebooknya, hari ini.

 Beliau juga berkongsi empat keping gambar dan catatan menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi dan Pengasas Yayasan MyAQSA, Suwardi Yaacob serta barisan delegasi yayasan itu di pejabatnya.

Muhyiddin berkata beliau diberikan penerangan berhubung MyAQSA yang ditubuhkan pada 2017 pada pertemuan kira-kira satu jam itu.

“Alhamdulillah, saya sangat berbangga dengan komitmen dan usaha berterusan MyAQSA dalam mendidik masyarakat tentang konflik Israel-Palestin dan kepentingan Masjidil Aqsa yang juga satu daripada tiga masjid paling utama dalam Islam selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi,” menurut catatan itu.

Muhyiddin berkongsi bahawa delegasi berkenaan turut menjelaskan mengenai penglibatan MyAQSA di peringkat antarabangsa khususnya dalam kes Jenayah Perang Zionis Israel ke atas Palestin di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) serta perlanggaran Resolusi 2334 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Muhyiddin, Malaysia menerusi MyAQSA adalah satu-satunya organisasi dari rantau Asia yang berani memfailkan bantahan terhadap kekejaman Zionis Israel di ICC.

"Sepertimana harapan saya, MyAQSA juga ingin melihat Malaysia memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha memperkukuhkan kesatuan masyarakat Palestin dalam mendepani cabaran hari ini.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.