Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon PM dari BN perlu muka baru yang 'bersih' - Ku Li
Diterbitkan:  Jul 3, 2020 2:49 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah percaya bahawa Umno dan BN perlu menampilkan muka baru yang berintegriti dan bersih sebagai calon perdana menteri dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bagi pemimpin-pemimpin lama pula, kata ahli parlimen Gua Musang itu, mereka perlu “berkorban” untuk memberi ruang kepada muka baru menerajui calon perdana menteri untuk Umno dan BN.

“Itu persoalan yang besarnya. Apa yang harus Umno dan BN tentukan, adalah mengangkat seseorang yang boleh memimpin. Seseorang yang berintegriti.

“Pemimpin-pemimpin masa lalu, harus bersiap sedia untuk berkorban, beri ruang untuk muka-muka baru yang bersih,” katanya ketika disoal mengenai calon perdana menteri Umno dalam temu bual bersama Channel News Asia.

Meskipun sebelum ini calon perdana menteri dalam kalangan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU akan datang menjadi persoalan, semalam, Umno dan PAS dilaporkan bersetuju menyokong Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri bagi PRU-15.

“Untuk pilihan raya akan datang, secara prinsipnya kedua-dua parti telah bersetuju untuk menamakan atau menyokong perdana menteri, Muhyiddin sebagai calon perdana menteri seterusnya," kata setiausaha bersama sekretariat Muafakat Nasional, Annuar Musa.

Namun, Tengku Razaleigh percaya Umno tidak akan menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri menjelang PRU-15 nanti bagi mendapatkan kedudukan dominan.

Sementara itu, disoal pandangannya berhubung cubaan Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perdana menteri buat kali ketiga, Tengku Razaleigh berkata, Mahathir telah gagal semasa menerajui pentadbiran kerajaan yang lalu.

“Ia menggangu saya,” katanya sambil ketawa.

“Dia (Mahathir) sudah gagal sepanjang 22 bulan lepas menerajui negara. Saya tak tahu apakah dia ada apa-apa yang baru untuk ditawarkan.

“Negara ini perlu kepemimpinan yang segar. Kita mesti bergerak ke hadapan dengan yakin” jawabnya lagi.

Lihat Komen
ADS