Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR arah Tian berundur dari GLC atau berdepan tindakan lebih tegas

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengeluarkan peringatan dan arahan kepada naib presiden parti itu, Tian Chua agar meletakkan jawatan sebagai pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Ketika dihubungi, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan mesyuarat MPP pada 28 Jun lalu telah membuat keputusan berdasarkan cadangan daripada lembaga disiplin parti.

"Ya saya ada keluarkan surat seperti mana keputusan MPP dalam mesyuarat terakhir yang ikut dihadiri oleh Tian," kata Saifuddin kepada Malaysiakini hari ini.

Awal hari ini, portal dalam talian The Malaysian Insight memetik sumber yang mendedahkan surat Saifuddin kepada Tian Chua bertarikh 29 Jun.

Menurut surat itu, Tian diberi arahan mengundurkan diri daripada jawatan lantikan politik atau berisiko menghadapi tindakan lebih tegas.

Difahamkan, bekas anggota parlimen Batu itu belum memaklumkan keputusannya kepada pucuk pimpinan parti.

Laporan The Malaysian Insight memetik Tian Chua sebagai mengesahkan bahawa beliau menerima surat itu pada malam Rabu lalu melalui e-mel.

Bagaimanapun, Sin Chew Daily hari ini memetik Tian Chua sebagai berkata tidak ada surat seumpama itu yang memintanya mengundurkan diri dan beliau juga telah berbincang dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim secara peribadi mengenai kedudukan dalam GLC berkenaan.

Malaysiakini telah menghubungi Tian Chua untuk mendapatkan respons.

Sebelum ini dilaporkan pemimpin PKR mengadakan mesyuarat pada 28 Jun lalu untuk memecat ketua Wanita PKR, Haniza Talha, ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nur Zarina Zakaria, ketua Wanita PKR Sabah, Rahimah Majid dan dua Adun Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

Parti itu memulakan siasatan tatatertib terhadap mereka yang diketahui berpihak kepada Azmin Ali yang mencetuskan "Langkah Sheraton" pada akhir Februari lalu sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Pembersihan dalaman itu menyaksikan ratusan anggota PKR digantung atau dipecat, sementara Tian Chua adalah antara lima yang terselamat dan dikeluarkan dengan surat tunjuk sebab.

Pada malam 23 Februari, kumpulan Azmin bertemu anggota parlimen Umno dan PAS di Hotel Sheraton, yang menjadi pencetus kepada peristiwa yang mengakibatkan perubahan kerajaan.

Lihat Komen
ADS