Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri sewaktu pemerintahan PAS, Datuk Senara Muda Mazalan Hashim menggesa orang ramai supaya jangan mempolitikkan pembabitannya dalam Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Sebaliknya, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Diraja Sultan Mizan, tidak mahu yayasan terwebut diheret ke kancah politik kerana ia hanyalah sebuah badan amal untuk membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik.

Katanya, meskipun beliau pernah menjadi Setiausaha Kerajaan Terengganu semasa pemerintahan parti alternatif yang diketuai PAS , namun ia tidak bermakna penglibatan beliau dalam badan amal ini dianggap sebagai cubaan untuk mengganggu pentadbiran kerajaan negeri.

"Ingin saya tegaskan di sini bahawa Yayasan Diraja Sultan Mizan adalah diterajui oleh baginda sendiri dan janganlah ada pihak menyalah anggap penglibatan saya sebagai cubaan untuk mengganggu pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita semua tahu bahawa di negeri ini masih banyak lagi golongan miskin serta kurang upaya. Jadi penubuhan yayasan ini sedikit sebanyak dapat membantu ke arah pembangunan insan serta infrastruktur negeri Terengganu," katanya.

Beri Sumbangan

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada murid sekolah dan kumpulan sasar di perkarangan Stesen Teksi di Dungun Terengganu hari ini.

Mazlan berkata, penduduk di negeri itu tidak perlu mempolitikkan aktiviti badan itu, tetapi sebaliknya mengajak mereka supaya sama-sama memainkan peranan ke arah merealisasikan matlamat badan itu.

Menurut Bernama, di majlis tersebut, beliau menyampaikan sumbangan berupa basikal, beg sekolah, dan kerusi roda kepada kira-kira 320 pelajar termasuk golongan kurang upaya dan guru-guru yang mengajar kelas fardu ain serta kelas al-Quran.

Mazlan menjelaskan untuk membantu kerajaan negeri meningkatkan taraf sosio-ekonomi, yayasan itu juga bercadang menganjurkan pertandingan ekuestrian bertaraf dunia di Setiu tidak lama lagi.