Dewan Rakyat 'riuh' seketika apabila ahli Parlimen daripada pembangkang membantah tindakan Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noh Omar yang menyifatkan masyarakat antarabangsa kini menerima hakikat bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu untuk membentaras kegiatan pengganas.

Kata Noh ketika membuat kenyataan sewaktu menolak dakwaan Ahli Parlimen Keadilan dari Kemaman Abdul Rahman Yusof bahawa perdana menteri sering menerima pujian dari ketua-ketua negara Afrika, termasuk presiden negara Zimbabwe yang kini menghadapi sekatan ekonomi, kerana dituduh menindas rakyatnya.

Abdul Rahman bertanya apakah ianya tidak merupakan satu penghinaan kepada perdana menteri apabila menerima pujian daripada pemimpin seumpama itu.

Ketika mempertahankan perdana menteri, Noh berkata:"Kita perlu terima hakikat bahawa pemimpin kita (perdana menteri) menjadi contoh di peringkat antarabangsa, terutama dasar yang kita amalkan, misalnya penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA)."

"Dulu kita dihentam oleh masyarakat antarabangsa kini Amerika mengikut kita," katanya.

Noh juga berkata, akhbar semalam melaporkan, Profesor Tom Plate dari Universiti California, Los Angeles, berpendapat perdana menteri patut menjadi rujukan pentadbiran Presiden George W Bush dalam melancarkan kempen Amerika Syarikat memerangi keganasan.

Noh juga membidas sikap pemimpin pembangkang yang sering memandang rendah terhadap keupayaan pemimpin negara.

Forum antarabangsa

Katanya, kehadiran perdana menteri di forum antarabangsa sentiasa dinanti-nantikan dan menjadi tumpuan pemimpin-pemimpin antarabangsa.

"Kehadiran perdana menteri di forum antarabangsa, purata dua kali sebulan, menunjukkan beliau seorang pemimpin yang amat diharapkan untuk memberi buah fikirannya," katanya.

Menurutnya, Mahathir telah menghadiri 54 forum antarabangsa sepanjang tahun lalu hingga Oktober tahun ini.

"Mahathir menghadiri 33 forum antarabangsa pada tahun 2000 dan 21 forum lagi pada tahun 2001 iaitu sehingga Oktober 2001," katanya semasa menjawab soalan Abdul Rahman.

Menurutnya, antara forum yang dihadiri perdana menteri termasuk yang dianjurkan oleh kerajaan, organisasi korporat dan badan bukan kerajaan dari dalam dan luar negara.

"Daripada jumlah tersebut, 24 forum dianjurkan oleh kerajaan Malaysia dan organisasi tempatan dan 30 lagi oleh kerajaan dan organisasi asing," katanya