Zahid ingatkan PAS jangan menangguk di air keruh
Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan PAS supaya jangan mengambil kesempatan daripada isu kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan, untuk kepentingan parti tersebut.

Katanya, Umno tidak akan membiarkan PAS "menangguk di air keruh" berhubung isu berkenaan.
"Umno yakin isu yang timbul itu akan dapat diselesaikan dengan bijak," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung empat peringkat Umno Bahagian Ketereh di hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata ingatan itu dibuat berikutan terdapat pemimpin PAS yang cuba mengambil kesempatan berhubung isu itu dengan harapan Umno akan berpecah.
Bagaimanapun, katanya, pemimpin Umno di peringkat negeri dan bahagian di seluruh negara perlu turun padang untuk memperjelaskan kedudukan sebenar kepada orang ramai.
"Dalam situasi sekarang, ahli Umno tidak seharusnya dikelirukan dengan pelbagai tohmahan oleh parti pembangkang," katanya.
Ahmad Zahid berkata dalam Islam, perselisihan pendapat diizinkan tetapi harus ada batasan dan tatasusila supaya tidak menyebabkan perpecahan sesama sendiri.