Selepas mencatatkan kejayaan membanggakan di Sarawak, seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata angin perubahan yang menyebelahi pembangkang kini bertiup melintas sempadan ke Sabah pula.

Timbalan Ketua PKR Sabah, Christina Liew berkata, rakyat Sabah kini tertunggu-tunggu ketibaan pilihanraya negeri yang akan datang.

Katanya, pembangkang yakin mendapat sokongan di kawasan majoriti Cina serta kawasan majoriti rakyat beragama Islam dan bukan bumiputera Islam.

Mengikutnya lagi, nasihat yang diterimanya daripada rakyat ialah supaya parti pembangkang meletakkan calon-calon yang berwibawa.

"Kami tidak ada masalah untuk memilih calon-calon yang berwibawa," katanya, sambil menambah, pihak pembangkang kini mendapat sokongan golongan profesional dalam membawa angin perubahan di Sabah.

"Mereka mahu kami mengambil alih pemerintahan Sabah, dan mereka tidak sabar-sabar lagi menunggu ketibaaan pilihanaraya negeri," dakwanya.

Rakyat tidak gembira

Liew mendakwa, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah gagal menyediakan kemudahan dan perkhidmatan asas seperti bekalan elektrik dan air kepada rakyat.

"Apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) memerintah, kita faham dengan masalah tersebut kerana mereka tidak ada peruntukan kewangan.

"Tetapi kini ia tidak boleh dijadikan alasan lagi, tetapi di kawasan seperti Sandakan, tempat Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman sendiri, masih banyak kemudahan dan perkhidmatan masih belum ada," tambahnya.

Mengikutnya lagi, rakyat Sabah kecewa dengan masalah rasuah dan kegagalan kerajaan negeri.

Liew berkata, kerajaan Sabah mesti mengambil iktibar daripada keputusan pilihanraya negeri Sarawak dalam menghadapi pilihanraya negeri dan Parlimen yang dijangka pada tahun 2008.

Dalam pilihanraya Sarawak baru-baru ini, parti pembangkang yang terdiri daripada PKR, SNAP, DAP dan parti MDC yang belum didaftarkan lagi, telah menganggotai gabungan menentang BN.

Berikutan itu, pembangkang berjaya memenangi lapan kerusi DAP (6), SNAP (1) dan PKR (1) serta satu lagi kerusi negeri dimenangi oleh calon Bebas. Terjemahan