Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
250 ahli PKR Ampang keluar parti, AJK pula nafi cabang terbubar

Seramai 250 orang ahli PKR Cabang Ampang mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta hari ini kerana hilang kepercayaan terhadap parti itu.

Naib Ketua Cabang PKR Ampang, D Nallan, mendakwa keputusan itu turut menyebabkan PKR cabang Ampang terbubar serta-merta setelah dua pertiga ahli jawatankuasa yang dipilih keluar parti.

"Apa yang berlaku pada akhir-akhir ini, menyebabkan kami, seramai 250 orang ahli PKR keluar parti.

“[..] terdiri daripada jawatankuasa cabang Ampang termasuk pemimpin-pemimpin pelapis di peringkat sayap Wanita PKR dan pimpinan AMK (pemuda) dari 38 cabang Ampang mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama dan keluar dari PKR berkuatkuasa serta-merta,” katanya dalam satu sidang media di Ampang hari ini.

Kata Nallan, pembubaran  sesebuah cabang selepas dua pertiga ahli keluar parti ada disebutkan dalam perlembagaan parti.

“Dalam perlembagaan (parti) ada fasal yang (menyebut) boleh bubar parti jika dua pertiga keluar.

“Kita ada dua pertiga ahli jawatankuasa yang dipilih dari AMK, Ketua Wanita dan Cabang,” tambahnya.

Menurut Nallan lagi, ahli yang keluar itu terdiri daripada 13 ahli jawatankuasa cabang kawasan itu, 12 dari AMK dan sembilan jawatankuasa wanita.

Yakin pada Anwar, Amirudin

Untuk rekod PKR Ampang sebelum ini diketuai Zuraida Kamaruddin yang berpaling tadah daripada parti itu dan menyokong Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bersama Azmin Ali.

Kedua-dua mereka merupakan antara wakil rakyat PKR yang meninggalkan parti dalam Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) diambil oleh oleh Perikatan Nasional (PN).

Tindakan itu kemudian menyaksikan kedua-dua bekas ahli pimpinan tinggi parti itu dipecat oleh PKR 24 Februari lalu.

Nallan menambah, ahli yang keluar juga bertindak demikian selepas tidak lagi yakin dengan kepimpinan ditunjukkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan juga kepimpinan parti.

Menurutnya, kepimpinan PKR hanya mementingkan kepentingan individu semata- mata serta gagal melaksanakan amanah diberikan ahli.

AJK PKR Ampang menegaskan mereka tetap yakin kepada parti.

Nallan juga memaklumkan bahawa mereka kini menyokong kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin.

Sementara itu 23 ahli jawatankuasa PKR Ampang menafikan cabang itu terbubar.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan sebentar tadi mereka berkata cabang itu kekal setia dan yakin kepada Anwar serta Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari.

"Sebagai ahli jawatankuasa Cabang Ampang yang sah kami akan meneruskan aspirasi mandat rakyat yang diamanahkan kepada PKR walaupun beberapa pimpinan memilih untuk mengkhianati kesuciannya.

"Usaha reformasi selama 22 tahun tidak akan berhenti hanya kerana segelintir yang berniat khianat bertindak keluar parti. 

"Anggota PKR Ampang yang sedia ada tetap komited agar obor reformasi diteruskan," kata kenyataan tersebut.

Lihat Komen
ADS