Suhakam tolak wajibkan bakal pengantin jalani ujian Aids
Suhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menolak cadangan kerajaan untuk mewajibkan bakal pengantin beragama Islam menjalani ujian penyakit HIV/Aids.
Suhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menolak cadangan kerajaan untuk mewajibkan bakal pengantin beragama Islam menjalani ujian penyakit HIV/Aids.
Dalam satu kenyataan semalam, Pesuruhjaya Suhakam, Dr Denison Jayasooria berkata, langkah mewajibkan ujian tersebut tanpa kerelaan pasangan terbabit serta jaminan kerahsiaannya, tidak patut digalakkan kerana ia melanggar hak asasi manusia.
Beliau mengingatkan kerajaan bahawa Program Bersama PBB mengenai HIV/Aids (UNAids) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mementingkan kerahsiaan dan kerelaan, sebagai dua kriteria utama ketika menjalankan ujian tersebut.
Tambahan pula, katanya, sebarang program dan dasar yang digubal untuk mengawal merebaknya HIV/Aids hendaklah dilaksanakan untuk semua dan tidak dihadkan kepada kumpulan tertentu sahaja, selaras dengan prinsip kesaksamaan dan tiada diskriminasi hak asasi manusia.
"Ekoran itu, Suhakam mengeyorkan supaya sebarang ujian HIV/Aids hendaklah dijalankan dengan cara yang tidak melanggar hak asasi manusia dan disertakan dengan kaunseling dan rujukan perkhidmatan perubatan, khususnya bagi mereka yang didapati positif," tambahnya.
Sudah dilaksanakan?
Cadangan tersebut yang dibuat oleh jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis lalu, telahpun dipersetujui oleh Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (Jakim).
Menurut Jakim, ujian seumpama itu sudahpun dijalankan terhadap bakal penganti beragama Islam di tujuh negeri Kelantan, Terengganu, Perak, Perlis, Johor, Melaka dan Selangor.
Presiden Majlis Aids Malaysia, Dr Adeeba Kamarulzaman pula berkata, kerajaan perlu bersedia untuk membantu mangsa yang didapat positif HIV.
"Ya, orang ramai perlu tahu status mereka, tetapi mereka juga perlu tahu menanganinya," katanya dalam satu laporan berita. Terjemahan

