Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nurul Izzah: Biarlah politikus lain layan isu calon PM

Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar enggan melayan pertikaian isu calon perdana menteri Pakatan Harapan Plus yang melibatkan bapanya, Anwar Ibrahim dan Presiden Warisan Shafie Apdal.

Sebaliknya, Izzah yang telah meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR pada Disember 2018, berkata beliau memilih untuk menumpukan usaha memperkukuhkan jentera parti.

"Pada saya itu tidak relevan kerana saya kembali ke tugasan hakiki kita untuk memperkukuhkan jentera parti.

"Maka yang lain itu biarlah politikus yang lain melayan masalah sedemikian," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu calon perdana menteri dalam PH Plus antara Anwar yang juga Presiden PKR dan Shafie.

Terdahulu, beliau bersama dalam program Regenarasi Wanita dan pengumuman keanggotaan PKR.

Rancangan PH untuk merebut kembali Putrajaya tersekat apabila PKR menegaskan Anwar dan bukan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang perlu menerajui kerajaan.

DAP dan Amanah mahu Anwar berkompromi dan menjadi timbalan Mahathir selama enam bulan sebelum mengambil alih perdana menteri.

Bagaimanapun, Mahathir menarik diri daripada pencalonan jawatan tersebut, berkata beliau bersama pemimpin tertinggi DAP serta Amanah telah memutuskan untuk menyokong Shafie sebagai perdana menteri, dengan Anwar dan Mukhriz Mahathir sebagai timbalan.

Tetapi Amanah dan DAP berkata perkara itu masih perlu dibincangkan di peringkat PH.

Lihat Komen
ADS