MP Jasin lwn Kastam: Kit Siang turut turun gelanggang
Rakyat berhak mengetahui fakta penuh mengenai dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof terhadap Jabatan Kastam.
Rakyat berhak mengetahui fakta penuh mengenai dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof terhadap Jabatan Kastam.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang berkata rakyat berhak mengetahui sama ada tuduhan itu benar atau tidak.
Berikutan itu, Lim berkata, beliau akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Terpilih Integriti Parlimen yang akan bermesyuarat Isnin dan Selasa ini, supaya memanggil Mohd Said dan Ketua Pengarah Kastam Datuk Abdul Rahman Abdul Hamid berhubung tuduhan tersebut.
Katanya, jawatankuasa berkenaan adalah forum yang sesuai untuk menyiasat tuduhan tersebut, termasuk mendapatkan senarai penuh kereta mewah yang dirampas yang telah dijual, bersama harga dan pembelinya, sejak Abdul Rahman menjadi Ketua Pengarah Jabatan Kastam.
Rabu lalu, Mohd Said mendakwa, pegawai atasan Kastam terbabit dalam amalan penjualan kereta mewah yang meragukan.
Beliau mendakwa, kereta Mercedes Benz dan BMW dijual pada harga RM40,000 kepada rakan-rakan, termasuk di istana, jabatan kerajaan, untuk memuaskan hati pembeli bagi tujuan tertentu atau untuk membodek bagi mendapatkan gelaran datuk.
Abdul Rahman bagaimanapun menafikan berlaku penyalahgunaan kuasa dalam urusan penjualan kereta tersebut.
Pegawai tidak puas hati
Ketua Bahagian Pencegahan Kastam, Adnan Ariffin pula berkata, sebuah jawatankuasa di bawah Kementerian Kewangan memutuskan penjualan kereta mewah yang dirampas, dan bukannya jabatan berkenaan.
Beliau bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan ada pegawa kastam yang tidak puashati dengan corak pentadbiran tegas Abdul Rahman, telah menggunakan Mohd Said untuk meluahkan kekecewaan mereka.
Katanya, terdapat pegawai yang tidak puashati dengan Abdul Rahman kerana beliau tidak bertolak ansur dalam menjalankan tugasnya.
"Beliau tidak main golf, tidak pergi ke karaoke, tetapi apa yang dilakukannya sejak memegang jawatan tersebut kira-kira sembilan bulan lalu ialah mengadakan pemeriksaan mengejut ke atas para pegawai," katanya dalam lapoaran New Straits Times.
Mohd Said (foto) sebelum didakwa oleh pihak Kastam telah meminta pegawai jabatan tersebut supaya "menutup sebelah mata" terhadap rampasan kayu balak, yang dikendalikan oleh syarikatnya.
Apabila berita tersebut tersiar, Mohd Said menegaskan beliau tidak menyalahgunakan kuasanya dan menuduh Jabatan Kastam mahu menganiayanya.
Kes beliau kini sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Berikutan dakwaan terbaru itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa ahli Parlimen berkenaan supaya membuat laporan kepada BPR bagi membuktikan tuduhan tersebut tidak berunsurkan balas dendam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.