Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan mengklasifikasikan semula dokumen berkaitan rundingan Malaysia dengan Singapura bagi membuktikan kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengenai projek jambatan yang telah dibatalkan.

Katanya, langkah itu akan membolehkan Syed Hamid memberikan bukti dalam bentuk dokumen bagi menyokong dakwaannya bahawa Malaysia dalam usahanya hendak membina sebuah jambatan baru ke Singapura tidak menawar untuk menjual pasir dan kebenaran menggunakan ruang udara kepada republik itu.

"Jika tidak benar bahawa Malaysia telah menawarkan untuk menjual pasir kepada Singapura dan memberikan ruang udara bagi pesawat perang untuk mengadakan latihan, maka Menteri Luar itu mesti menunjukkan dokumen bukti, termasuk minit mesyuarat-mesyuarat dan draf perjanjian-perjanjian di mana cadangan-cadangan itu dibuat.

"Ini boleh dilakukan dengan cara mengklasifikasikan semula minit mesyuarat-mesyuarat antara pasukan-pasukan Malaysia dan Singapura yang berunding untuk membuktikan secara melampaui keraguan kenyataan menteri berkenaan. Akta Rahsia Rasmi tidak seharusnya digunakan untuk menyembunyikan kebenaran," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan demikian dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini sebagai jawapan kepada kenyataan Syed Hamid di Parlimen Khamis lalu. Dalam jawapan bertulisnya kepada Ketua Pembangkang Lim Kit Siang, Syed Hamid berkata Malaysia tidak membuat kedua-dua tawaran itu kepada Singapura seperti yang didakwa oleh Dr Mahathir.

Bekas Perdana Menteri itu berkata tanpa dokumen-dokumen berkenaan, hendaklah diandaikan bahawa Malaysia, yang berusaha untuk membina jambatan lurus bagi menggantikan jambatan bengkok atau jambatan indah seperti yang telah diputuskan oleh pentadbiran terdahulu yang pembinaannya sudahpun bermula sebelum ia dibatalkan, telah membuat tawaran itu.

Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir berkata berdasarkan pemahaman beliau, cadangan itu datang daripada Malaysia dan bahawa tiada apa-apa bukti bertulis yang menunjukkan bahawa permintaan itu sebenarnya berasal dari Singapura.

Kerja tebus tanah

Mengenai dakwaan Syed Hamid bahawa pasir telah dijual kepada Singapura sejak zaman pemerintahan beliau lagi, Dr Mahathir berkata kuantitinya pada masa itu sangat kecil berbanding apa yang ditawarkan kepada Singapura sekarang yang berjumlah sehingga satu bilion meter padu bagi tempoh 20 tahun.

Beliau berkata walaupun pasir dijual kepada Singapura semasa zaman pemerintahannya dahulu, amalan itu telah berlanjutan, malah sejak sebelum beliau menjadi Perdana Menteri lagi.

Dr Mahathir menegaskan bahawa beliaulah yang telah menghentikan amalan seumpama itu, yang pada masa itu dilakukan oleh entiti swasta, selepas amalan seumpama itu terbukti memudaratkan integriti kawasan pesisir dan kedaulatan Malaysia.

"Ini kerana kerja-kerja menebus guna tanah yang meluas yang dilakukan oleh Singapura telah menjejaskan laluan air di Selat Tebrau," jelas beliau.

Mengenai isu memberi kebenaran menggunakan ruang udara kepada Tentera Udara Republik Singapura (RSAF), Dr Mahathir berkata tentera udara republik itu pernah diberi kebenaran untuk menggunakan ruang udara Malaysia pada masa lalu.

Bagaimanapun, beliau memutuskan untuk menarik balik kebenaran itu apabila RSAF menyalahgunakan kebenaran itu dengan mengadakan penerbangan melebihi ruang udara Johor dan mengadakan latihan mencari dan menyelamat tanpa memaklumkan atau meminta kebenaran daripada pihak berkuasa Malaysia.

"Untuk membenarkan RSAF menggunakan ruang udara sekali lagi sebagai satu aturan quid-pro-quo dalam mengejar hasrat membina sebuah jambatan adalah tidak dapat diterima sama sekali terutama apabila tiada apa-apa balasan yang diterima daripada pihak republik itu untuk memberi kebenaran kepada jet-jet Tentera Udara Diraja Malaysia untuk menggunakan ruang udara Singapura," kata beliau.