Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada masalah air di Kelantan sehingga 30-40 tahun lagi'

Nota editor: Laporan awal Malaysiakini menyebut kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai berkata masalah air di Kelantan akan selesai dalam tempoh 30 hingga 40 tahun. Kementerian Alam Sekkitar dan Air bagaimanapun  menjelaskan bahawa masalah bekalan air Kelantan akan selesai 40 tahun ke hadapan.

Kementerian Alam Sekitar dan Air mensasarkan masalah perbekalan air di Kelantan akan selesai secara menyeluruh.

Menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, masalah itu akan diselesaikan secara berperingkat menerusi projek tebatan banjir, penggantian saluran paip baru dan menaik taraf loji air sedia ada.

"Paip-paip di Kelantan sudah terlalu lama, saya kira sudah 40 tahun, sekali gus memerlukan kos yang besar untuk buat penggantian. Kalau kita tak tukar paip masalah tak akan selesai.

"Ini termasuk juga masalah loji yang sedia ada perlu diperbesarkan, kapasiti bilangan penduduk Kelantan yang ramai memerlukan bekalan air yang tersusun dan kita sasarkan untuk (masalah ini) selesai (dalam tempoh) antara 30 hingga 40 tahun akan datang. 

"Insya-Allah akan selesai," katanya pada sidang media selepas mesyuarat kementerian bersama Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob serta exco kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Dalam perkembangan sama Tuan Ibrahim berkata, kementeriannya memerlukan peruntukan RM7.3 bilion untuk melaksanakan projek-projek yang dirancang.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon peruntukan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bagi membolehkan peruntukan berkenaan dimasukkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Jumlah peruntukan itu membabitkan beberapa projek besar termasuk Projek Tebatan Banjir yang mempunyai tiga fasa iaitu di Tumpat, Rantau Panjang dan Pasir Mas.

"Selain itu, di Tunjung sudah diluluskan projek pembentungan bersepadu membabitkan peruntukan RM600 juta serta dan lain-lain projek untuk masalah banjir dan bekalan air. 

"Sebahagian projek sudah berjalan seperti projek tebatan banjir bagi fasa satu yang dijadualkan siap pada Oktober nanti," katanya.

Tambahnya, kementerian berkenaan optimis berdasarkan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pusat, semua perkara yang dibincangkan akan menjadi pemangkin kesejahteraan, peningkatan kualiti hidup rakyat, kelestarian alam sekitar dan air serta meransang pertumbuhan ekonomi Kelantan.

Lihat Komen
ADS