Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK Chini | PAS melihat sokongan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin antara faktor yang turut membantu kemenangan besar calon BN di PRK DUN Chini, semalam.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kemenangan itu juga sekali gus menyaksikan masa depan Perikatan Nasional (PN) amat cerah.

"Tahniah kepada rakan kami dalam Muafakat Nasional, BN kerana memperoleh kejayaan besar dalam PRK DUN Chini.

"Kita sudah menjangkakan akan memperoleh kemenangan. Namun ada dua perkara yang menyumbang kepada kejayaan itu iaitu sikap positif yang ditunjukkan petugas daripada ketiga-tiga parti iaitu Umno, PAS dan Bersatu sangat baik.

"Selain itu, kenyataan perdana menteri menyatakan sokongan kepada calon BN ini telah menjadi lonjakkan kepada kemenangan," katanya pada sidang media selepas pertemuan dan mesyuarat bersama kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian ketika diminta mengulas kemenangan Mohd Sharim Md Zain dengan meraih 13,872 undi daripada keseluruhan 15,231 pemilih berdaftar yang keluar mengundi di kerusi DUN itu untuk menewaskan dua calon bebas.

Dua calon bebas, iaitu Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli masing-masing mendapat 1,222 dan 137 undi, yang bermakna hilang deposit.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berharap momentum itu akan terus kekal untuk masa akan datang.

"Saya melihat masa depan PN sangat cerah, apa yang diterjemahkan dalam peti undi. Saya turun ke Chini dan tengok petugas begitu dedikasi, petugas PAS bertugas macam dia (PAS) bertanding.

"Walaupun calon BN, yang hebatnya bekas calon PAS di situ turut mengetuai kempen bagi memenangi calon BN. Padahal dia berlawan dulu, tapi kali ini dia turun membantu," katanya.

Lihat Komen
ADS