Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aizad Roslan dilantik ketuai Armada ganti Syed Saddiq

Pemuda Bersatu (Armada), kini dipimpin oleh naib ketuanya, Aizad Roslan, selepas penyandang sebelum ini Syed Saddiq Syed Abdul Rahman digugurkan keahlian parti pada 28 Mei lalu.

Mengumumkan hal itu menerusi kenyataan hari ini, Armada juga mengumumkan dua rombakan lain turut dibuat masing-masing bagi jawatan ketua penerangan dan penolong bendahari parti itu.

“Mengikut perlembagaan Bersatu, Armada kini dipangku Naib Ketua Armada Mohd Aizad Roslan," kata kenyataan tersebut.

Bagi jawatan penolong bendahari pula, Rafiq Hakim Razali akan digantikan dengan Fairuz Renddan, manakala Ketua Penerangan Ulya Aqamah Husamuddin digantikan dengan Izhar Shah Ariff Shah.

Untuk rekod, Ulya dan Rafiq merupakan penyokong setia Syed Saddiq.

Syed Saddiq bersama empat lagi ahli termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah digugurkan keanggotaan daripada Bersatu kerana duduk di kerusi pembangkang pada sidang Dewan Rakyat selama satu hari pada 18 Mei lalu.

Bagaimanapun, mereka mempertikaikan keputusan tersebut. 

Sementara itu, Ulya ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan bahawa dia belum menerima surat rasmi berkenaan rombakan jawatan tersebut.

“Saya belum dapat surat rasmi rombakan berkenaan jawatan saya lagi.

“Saya tahu dari awal mereka memang nak cuba asingkan orang yang bersama-sama Tun (Dr Mahathir). Cuma surat belum dapat,” jelasnya. 

Lihat Komen
ADS