Malaysiakini
BERITA

Susulan laporan Al Jazeera, Dr Noor Hisham pertahan penahanan warga asing

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Jul 2020, 11:10 tengahari

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mempertahankan penahanan warga asing tanpa dokumen di tengah-tengah wabak Covid-19.

Ia selepas pihak berkuasa membidas laporan Al Jazeera berhubung penahanan warga asing ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Memberi respons berkenaan perkara itu di Twitter, Noor Hisham menegaskan warga asing tanpa dokumen perlu ditahan.

"Kita tidak pernah mengalu-alukan warga asing tanpa izin ke negara kita," katanya.

 Menjawab ciapan seorang pengguna Twitter yang menyuarakan kekecewaan berhubung keadaan dalam tahanan, yang menyebabkan warga asing terdedah kepada jangkitan Covid-19, beliau berkata:

"Sejumlah yang anda rujuk itu ialah warga asing tanpa dokumen.

"Pastinya lebih baik berbanding jika mereka berada dalam komuniti," katanya.

Ia menunjukkan sentimen yang sama dengan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini mempertahankan langkah menahan warga asing di pusat tahanan Imigresen yang sesak, memandangkan mereka masuk ke negara tanpa izin.

Bagaimanapun, dilaporkan sejumlah warga India yang masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial tetapi terkandas apabila penerbangan mereka untuk kembali ke India dibatalkan, turut ditangkap dalam serbuan dan telah ditahan Imigresen sejak awal Mei.

Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia berkata mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia untuk membawa pulang mereka yang ditahan.

Pada 12 Jun lalu, seorang warga India yang masuk ke Malaysia menggunakan dokumen sah tetapi terkandas ketika PKP meninggal dunia selepas lebih sebulan dalam tahanan.

Ketika dalam tahanan, dia disahkan positif Covid-19 pada 26 Mei, 22 hari selepas disahkan bebas daripada wabak itu ketika ujian awal yang dilakukan terhadap semua penduduk Malayan Mansion di Kuala Lumpur. Dia ditahan pada 8 Mei.

Terdahulu, Noor Hisham berkata mangsa, iaitu Zeawdeen Kadar Masdan yang berusia 67 tahun, mengalami consolidation, iaitu kesan sampingan daripada jangkitan paru-paru dan juga kesan sampingan Covid-19, tetapi punca kematian hanya akan diketahui selepas bedah siasat.

'Pastikan tempat tinggal pekerja tak sesak'

Pada Mei, Wakil Khas PBB untuk hak asasi warga asing Felipe Gonzales Morales berkata, tangkapan terhadap golongan itu akan mencetuskan ketakutan kepada mereka untuk membuat pemeriksaan kesihatan, pada masa sama penjarakan sosial mungkin tak dapat diamalkan di pusat tahanan.

Sebelum serbuan, Ismail Sabri memberi jaminan status Imigresen tidak menjadi pertimbangan apabila warga asing tampil ke depan untuk menjalani ujian.

Selepas serbuan, Malaysia merekodkan peningkatan kes baru secara mendadak - iaitu 277 ke dalam satu hari - dan kebanyakannya dikesan di pusat tahanan Imigresen.

Lebih daripada 700 tahanan disahkan positif, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang disahkan positif ketika menjalani ujian sebagai syarat akhir untuk dihantar pulang.

Penularan itu sudah dapat dikawal dengan kebanyakan tahanan telah pulih.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut mengulang semula gesaannya berhubung pengawalan sempadan negara dan agar majikan memastikan tempat tinggal pekerja bersih dan membolehkan amalan penjarakan sosial.

"Dalam pendekatan pencegahan dan kawalan penularan Covid-19, kita perlu meningkatkan dan mengetatkan kawalan sempadan.

"Virus tidak membeza-bezakan antara pengembara berdokumen atau tanpa dokumen.

"Semua ketibaan termasuk warga Malaysia yang pulang perlu menjalani ujian dan dikuarantin," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.