Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak laku di Sabah': Umno desak Latiff Ahmad letak jawatan menteri
Diterbitkan:  Jul 8, 2020 11:33 AM
Dikemaskini: 5:42 AM

Pemuda Umno menggesa Menteri Pembangunan Luar bandar, Abdul Latiff Ahmad meletakkan jawatan susulan kenyataannya bahawa parti itu 'tidak laku' di Sabah.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemuda Umno memandang serius kenyataan Abdul Latiff yang dibuat dalam sebuah forum baru-baru ini.

"Kenyataan biadab dan angkuh seperti itu tidak harus diungkapkan oleh seorang yang sudah berstatus menteri dalam sebuah kerajaan yang terbentuk hasil kerjasama gabungan parti-parti politik terutamanya Umno sebagai rakan komponen terbesarnya.

"Lebih menghiris lagi apabila kenyataan yang berupa penghinaan sebegitu diluahkan oleh seorang pengkhianat parti yang lari dan terjun meninggalkan bahtera Umno di saat badai besar melanda, sedangkan bahtera inilah yang pernah mengangkat beliau sebagai ahli parlimen Mersing.

"Justeru, demi maruah Umno dan mengekalkan keharmonian dan penghormatan parti-parti yang berkerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional, Pemuda Umno bertegas agar Datuk Latiff segera meletakkan jawatan selaku menteri kabinet!" kata Asyraf dalam kenyataan media.

Abdul Latiff yang juga ahli Bersatu membuat kenyataan itu dalam sebuah forum terbuka yang kemudian menjadi tular di media sosial.

“Orang Sabah dia tak panggil lompat, dia panggil hijrah. Biasa dari Berjaya ke PBS, PBS pergi Umno.

“Sekarang ini Umno sudah tak lakulah. Umno, maksud saya parti Umno di Sabah. Itu realitinya kerana (orang) tak yakin. Semua yang lompat juga sudah hijrah ke Bersatu,” kata menteri berkenaan.

Untuk rekod,  Abdul Latiff antara beberapa bekas ahli parlimen Umno yang keluar daripada parti itu untuk menyertai Bersatu selepas kekalahan Umno pada pilihan raya umum lalu.

'Tanpa sokongan Umno tak mungkin jadi menteri'

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Armand Azha Abu Hanifah mendesak Abdul Latiff memohon maaf dan mengatakan tanpa sokongan Umno, beliau tidak mungkin dilantik sebagai menteri pada ketika ini.

"Jadi saya ingin berikan nasihat kepada beliau tentang semangat berpasukan serta setiakawan harus ada dalam diri beliau yang mewakili barışan kabinet Perikatan Nasional (PN).

“Saya juga mendesak beliau untuk memohon maaf kepada seluruh keluarga besar Umno atas kenyataan beliau demi perpaduan dan kestabilan kerjasama semua pihak dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Armand berkata sebagai menteri di bawah PN, Abdul Latiff sepatutunya menunjukan contoh yang baik kepada rakyat Malaysia serta menjaga hubungan baik antara parti-parti dalam PN.

“Sebagai menteri PN sepatutnya menberikan pandangan dan cadangan demi kesejahteraan rakyat Malaysia dalam platform forum tersebut untuk meraih sokongan rakyat Malaysia bukannya mencipta keretakkan dalam hubungan antara parti-parti PN,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain menyifatkan dakwaan Abdul Latiff sebagai tidak bertanggungjawab.

“Kenyataan beliau bahawa Umno sudah tidak laku dalam konteks Sabah adalah satu tuduhan yang cukup berat dan tidak bertanggungjawab. 

"Justeru, Pemuda Umno Sabah menuntut agar Abdul Latiff memohon maaf daripada semua ahli-ahli Umno seluruh negara dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.

“Sekiranya beliau degil untuk membuat permohonan maaf, Pemuda Umno Sabah tidak akan teragak-agak untuk mendesak perdana menteri agar menukarkannya dengan menteri yang lebih peka dan bertanggungjawab,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS