Paling Popular
Terkini

Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Md Yunos mengemukakan permohonan bagi membatalkan tuntutan saman fitnah yang dibuat bekas menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim Yeo Bee Yin.

Perkara itu disahkan Peguam Yeo Sankara Nair ketika ditemui selepas pengurusan kes tuntutan mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Pada tahun 2017, Yeo mengemukakan tindakan undang-undang terhadap Jamal atas tuduhan penyalahgunaan dana dari Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Sankara hari ini memberitahu bahawa permohonan Jamal itu dikemukakan pada 25 Jun, dengan alasan bahawa tuntutan saman fitnah terhadapnya itu terlalu awal.

"Defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan pelanggan kami (atas alasan yang diduga) bahawa ada siasatan SPRM yang sedang berjalan (atas tuduhan penyalahgunaan dana), oleh kerana itu (kononnya) menjadikan tuntutan (saman) itu masih awal," kata Sankara.

Dia berkata bahawa Hakim Rozana Ali Yusof menetapkan 23 Julai untuk mahkamah mendengar permohonan Jamal.

Sankara menambah bahawa hakim juga turut menetapkan saman utama yang dikemukakan untuk didengar selama lima hari dari 9 November, sekiranya mahkamah menolak permohonan Jamal membatalkan saman itu.

Jamal diwakili oleh peguam Mohamad Fauzi Abdul Samad. Yeo mahupun Jamal bagaimanapun tidak hadir di mahkamah.

Pada 28 April, dilaporkan bahawa tuntutan saman yang dikemukan Yeo akan menjalani perbicaraan penuh, berikutan kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian melalui proses mediasi.

Pada 14 Jun 2017, Yeo memfailkan saman menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta daripada Jamal yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung penyalahgunaan dana Yawas.

Dalam pernyataan tuntutan, Yeo yang juga ahli parlimen Bakri, mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan tersebut telah disiarkan oleh beberapa akhbar, portal berita serta di laman sosial Facebook milik Jamal.

Yeo mendakwa kenyataan itu, antara lain, memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan merupakan seorang yang tidak mempunyai etika serta tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, Yeo memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya mengulangi kenyataan tersebut.

Lihat Komen
ADS