Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes 1MDB: Mahkamah benarkan SPRM sita lebih RM835,000 dari MCA Pahang

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan tuntutan sivil SPRM untuk menyita RM835,258.19 yang didakwa dana 1MDB dari MCA Pahang.

Mahkamah hari ini memutuskan bahawa wang tersebut telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan ia adalah hasil daripada aktiviti haram.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu semasa proses mahkamah terbuka hari ini.

MCA Pahang adalah antara 41 kumpulan, syarikat dan individu tempatan yang disasarkan dalam saman SPRM yang menuntut penyitaan sebanyak RM270 juta yang didakwa berasal dari 1MDB.

Dalam membacakan keputusan lisan ringkas hari ini, Jamil mengatakan bahawa mahkamah mencapai kesimpulan itu dengan bergantung pada beban pembuktian perbicaraan sivil melalui keseimbangan kemungkinan, di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUA).

Hakim berkata bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan bahawa RM835,258.19 dikaitkan dengan RM3 juta yang diterima MCA Pahang dari bekas perdana menteri Najib Abdul Razak pada Mac 2013, dan ia juga berkaitan dengan hasil dari aktiviti haram.

Jamil berkata bahawa tidak perlu pihak pendakwaan mendapatkan sabitan dalam kes jenayah yang berkaitan dengan Najib sebelum meneruskan saman pelucutan sivil terhadap MCA Pahang.

Najib kini dibicarakan di beberapa Mahkamah Tinggi atas pelbagai rasuah dan tuduhan lain yang berkaitan dengan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion dan dana RM42 juta dari SRC International.

Jamil hari ini juga menyatakan bahawa MCA Pahang tidak pernah menafikan bahawa mereka telah menerima sumbangan berjumlah RM3 juta daripada Najib pada Mac 2013, dan responden berpendapat bahawa baki RM835,258.19 dalam akaunnya berasal dari sumber derma lain.

“Responden tidak pernah menafikan hakikat bahawa mereka menerima RM3 juta daripada Najib. Responden mengatakan bahawa mereka telah membelanjakan RM3 juta dan responden mengatakan bahawa baki RM835,258.19 berasal dari sumber derma lain.

"Beban pembukitian ada pada responden untuk menunjukkan bahawa RM835,258.19 adalah wang dari sumber derma lain.

"Namun, responden gagal melakukannya (membuktikan wang berasal dari sumber lain), mereka tidak mengemukakan akaun bank (penyata) untuk menunjukkan bahawa ia berasal dari sumber derma lain," kata Jamil.

DPP SPRM Farah Yasmin Salleh hadir untuk pendakwaan sementara MCA Pahang diwakili peguam Ben Chan dan Ken Low.

Ketika ditemui selepas prosiding, Chan mengatakan bahawa dia akan meminta arahan daripada anak guamnya sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini.

Lihat Komen
ADS