mk-logo
Berita
Kes bunuh CEO Cradle Fund: Nazrin syak bekas isteri terlibat pecah rumah - Saksi
Diterbitkan:  Jul 8, 2020 11:20 PM
Dikemaskini: 3:20 PM

Saksi pendakwaan ke-25 perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini, beliau bersetuju yang Nazrin mengesyaki bekas isterinya terlibat dalam kejadian pecah rumah sekitar tahun 2015.

Bekas pemandu peribadi Nazrin, Ahmad Edree Abdul Rashid, 43, berkata beliau bersetuju Nazrin mengesyaki bekas isterinya bernama Iza terlibat dalam kes itu, berdasarkan kesan contengan gincu pada katil selain tiada kesan pintu atau tingkap rumahnya itu dipecahkan.

"Saya melihat ada kesan contengan lipstick (gincu) bila saya masuk ke bilik utama rumah itu dan contengan itu dikesan berlaku pada waktu sama kejadian rumah (Nazrin) dipecah masuk," katanya ketika disoal balas peguam bela Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim  Ab Karim Ab Rahman di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Muhammad Shafee bertanyakan sama ada Ahmad Edree bersetuju Nazrin mengesyaki bekas isterinya, Iza, terlibat dalam kejadian pecah rumah itu berdasarkan satu mesej Nazrin menerusi aplikasi WhatsApp kepada seorang rakannya bernama Jaya.

Muhammad Shafee: Dalam mesej arwah (Nazrin) itu, arwah bertanya rakannya jika ada mengenali mana-mana SB (Unit Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia) kerana ingin menyiasat berhubung kes (pecah masuk) itu yang mana arwah syak bekas isterinya terlibat. Adalah anda setuju bahawa arwah syak isterinya dalam kejadian itu?

Ahmad Edree: Ya. Setuju.

Muhammad Shafee: Adakah anda setuju contengan gincu merah terang pada katil dan dinding katil bukan milik Samirah (Muzaffar). Samirah tidak pakai warna itu sebab tidak sesuai dengannya.

Ahmad Edree: Ya. Setuju.

Ahmad Edree turut mengakui beliau mengetahui sejumlah wang tunai, barang kemas milik dan pasport antarabangsa milik Nazrin hilang dalam kejadian pecah masuk itu selepas dimaklumkan sendiri oleh Nazrin.

Ahmad Edree turut memberitahu mahkamah bahawa rumah yang diduduki bekas majikannya itu pernah berlaku kejadian pelik, selain Samirah turut menemui kayu gaharu dan garam di bawah kerusi kereta dipandunya (Ahmad Edree).

"Saya pernah melihat pintu pagar automatik rumah itu (rumah Nazrin) terbuka dan tertutup dengan sendiri.

"Saya juga dimaklumkan (oleh Nazrin) bahawa Samirah menemui kayu gaharu dan garam di bawah kerusi kereta yang dipandu oleh saya.

"Tetapi saya tidak bersetuju bahawa Iza yang melakukannya (meletakkan kayu gaharu dan garam) kerana Iza tidak mempunyai peluang untuk berbuat begitu," katanya.

Ahmad Edree berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Shafee bahawa bekas isteri Nazrin, cuba melakukan perkara tidak baik terhadap Nazrin, secara halus.

Isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 45, dan dua remaja lelaki, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, serta seorang wanita Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS