Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Azhar tinggalkan SPR, Azmi pangku tugas pengerusi
Diterbitkan:  Jul 9, 2020 12:52 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan bahawa Azhar Azizan Harun telah meletakan jawatan sebagai pengerusi badan itu pada 29 Jun lalu.

Sehubungan itu, Unit Komunikasi Korporat SPR dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom akan menjalankan tugas pengerusi.

Beliau akan menjalankan tugas itu sehingga pelantikan pengerusi SPR baharu, selaras dengan Perkara 114 (7) Perlembagaan Persekutuan.

"SPR memaklumkan bahawa Datuk Azhar Azizan Harun telah meletak jawatan sebagai Pengerusi SPR berkuat kuasa pada 29 Jun lalu.

"Peletakan jawatan ini sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dimaklumkan melalui surat Istana Negara bertarikh 30 Jun lalu," katanya.

SPR turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Azhar atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau sebagai pengerusi.

Kenyataan itu memperkuatkan lagi spekulasi bahawa Azhar bakal dinamakan sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru.

Sebelum ini, Azhar dan anggota parlimen Pengerang daripada BN Azalina Othman Said disebut-sebut sebagai speaker dan timbalan speaker yang baru.

Mereka dijadualkan menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof dan Nga Kor Ming yang dikatakan memihak kepada Pakatan Harapan (PH) dan barisan pembangkang.

Seorang lagi timbalan speaker, Mohd Rashid Hasnon, kini bersama-sama kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak terkesan dengan pertukaran itu.

Lihat Komen
ADS