Malaysiakini
BERITA

Annuar: BN akan pertahan semua kerusi tradisi atau dimenangi dalam PRK

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Jul 2020, 1:49 tengahari

Seorang pemimpin kanan BN memberi bayangan gabungan itu tidak akan bertolak ansur mengenai kerusi mereka dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Semasa menyatakan pendirian itu Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, berkata gabungan terbabit akan mempertahankan semua kerusi yang mereka menangi pada PRU ke-14 atau mana-mana pilihan raya kecil (PRK) selepas itu.

"Barisan Nasional berhasrat mempertahankan semua kerusi tradisinya sama ada yang dimenanginya (pada) PRU14 atau yang dimenangi PRK kemudiannya," kata Annuar dalam ciapan malam ini.

Isu pembagian kerusi untuk PRU dijangka akan membelenggu kerjasama di antara BN dan Bersatu yang kini bersekutu sebagai Perikatan Nasional.

Menyertai gabungan itu ialah PAS.

Untuk rekod bagi kebanyakan kerusi Melayu, ia biasanya diwakili Umno dan mereka berdepan dengan calon PAS atau Bersatu.

Di sesetengah tempat calon Umno kalah kepada Bersatu.

Dalam sesetengah kes pula ahli parlimen Umno yang memenangi kerusi tersebut kemudian berpaling tadah menyertai Bersatu apabila BN gagal mendapat mandat rakyat untuk terus menjadi kerajaan pada PRU 2018.

Bersatu pula - melalui Langkah Sheraton - kemudian bersekutu dengan BN untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) pada akhir Feb lalu.

Mahu perluaskan kepada Bersatu

Akhir-akhir ini kedudukan kerusi parlimen Mersing turut diperkatakan apabila penyandangnya, Dr Abdul Latiff Ahmad, dikecam kerana membuat kenyataan mendakwa Umno tidak lagi 'laku' di Sabah.

Beliau memenangi kerusi berkenaan atas tiket Umno namun meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu.

Abdul Latiff yang juga menteri pembangunan luar bandar sudah meminta maaf atas kenyataan tersebut.

Kerjasama dalam PN juga akhir-akhir ini dibayangi isu calon perdana menteri yang digambarkan sudah disepakati agar Muhyiddin Yassin kekal mengetuai kerajaan selepas PRU ke-15.

Namun beberapa pemimpin kanan dan veteran Umno menyatakan rasa kurang senang dengan pendirian tersebut.

Untuk rekod Annuar turut menciap mengenai kerusi PRU dalam hantaran lebih awal.

Misalnya beliau menegaskan mengenai penyatuan Melayu yang akan terus diusahakan bersama PAS.

Kemudian menteri Wilayah Persekutuan itu memetik ciapan naib presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin mengenai Muafakat Nasional yang dianggap semakin banyak persefahamannya.

"Insya-Allah kesepakatan ini boleh kita perluaskan kepada PPBM (Bersatu) dan lain-lain juga. Keterbukaan dan kesederhanaan asas permuafakatan," ciapnya.

Berdasarkan ciapan Annuar, selain kerusi Mersing Umno juga pasti akan bertanding di kawasan yang kini diwakili pemimpin Bersatu, termasuk Larut, Masjid Tanah dan Bagan Serai.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.