mk-logo
Berita
Zahid: Umno tetap tuntut Mersing, tak endah maaf Latiff
Diterbitkan:  Jul 9, 2020 9:39 PM
â‹…
Dikemaskini: 2:34 PM

Umno tetap akan menuntut kerusi parlimen Mersing yang kini disandang Menteri Pembangunan Luar Bandar Dr Abdul Latiff Ahmad.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian tersebut pada hantarannya di media sosial malam ini.

"Minta maaf ke, salah tafsir ke, kerusi Mersing kekal milik Umno.

"Umno kekal relevan," katanya.

Ini selepas Abdul Latiff semalam mengakui kesilapannya dan memohon maaf atas kenyataannya "Umno tidak laku di Sabah" telah disalah anggap.

"Saya dengan rendah diri ingin memohon maaf sekiranya kenyataan saya itu menyinggung perasaan sesetengah pihak," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Majlis Tertinggi Umno Azalina Othman Said mengulang ciapan Ahmad Zahid di Twitter bagi menyatakan sokongan terhadap kenyataan presiden partinya itu.

Sebelum ini, Abdul Latiff yang juga pemimpin Bersatu membuat kenyataan dalam sebuah forum terbuka yang kemudian menjadi tular di media sosial.

“Orang Sabah dia tak panggil lompat, dia panggil hijrah. Biasa dari Berjaya ke PBS, PBS pergi Umno.

“Sekarang ini Umno sudah tak lakulah. Umno, maksud saya parti Umno di Sabah. Itu realitinya kerana (orang) tak yakin. Semua yang lompat juga sudah hijrah ke Bersatu,” kata menteri berkenaan.

Untuk rekod, Abdul Latiff ialah antara beberapa bekas ahli parlimen Umno yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu selepas kekalahan BN pada PRU14 lalu.

Lihat Komen
ADS