Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LGBT: Jawi dapat 'lesen penuh' tapi menteri tekankan aspek tarbiah
Diterbitkan:  Jul 10, 2020 2:53 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad memberi "lesen penuh" kepada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengambil tindakan terhadap transgender.

Pun begitu tindakan yang akan diambil itu tidak hanya melibatkan tangkapan semata-mata, sebaliknya yang lebih utama kata beliau ialah "tarbiah".

Langkah tersebut menurut anggota Dewan Negara itu diambil agar golonga terbabit dapat kembali ke pangkal jalan.

"Saya beri lesen penuh kepada semua penguat kuasa Jawi untuk laksanakan fungsi bahagian penguatkuasaan Jawi dengan sebaiknya di Wilayah Persekutuan.

"Dengan syarat, patuhi SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas media sosial 'panas' dengan isu berkaitan Nur Sajat yang beraksi dengan bikini di media sosialnya.

Sebelum ini ketika diminta wartawan agar mengulas isu usahawan kosmetik bernama asal Muhammad Sajad Kamaruzaman itu di Raub, Zulkifli enggan mengulas lanjut.

Peserta rancangan realiti TV, Pencetus Ummah Syed Bakri al-Yahya baru-baru ini menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertegas memerangi isu berkenaan.

Tolong sampaikan pada menteri

Menurut Syed, pemimpin PAS, menteri dan pegawai agama PN khususnya wajar mengambil tindakan segera ke atas Nur Sajat atau yang disifatkan semakin berani berpakaian bikini di media sosial.

"Teringat waktu pemerintahan Pakatan Harapan (PH), bekas menteri agama Mujahid Yusof apabila dia mesra LGBT, kita kecam beliau tak tegas. Sekarang diharap menteri PN bertanggungjawab perjelas isu umat Islam.

“Kalau zaman PH kita kata menteri tak perform dan sebagainya, kita harap PN, sekarang menterinya melaksanakan tugas, pegawainya melaksanakan tugas, jabatan agamanya bertanggungjawab ambil tindakan.

“Tolong sampaikan kepada menteri berkenaan dan PAS contohnya, apa kita perlu buat, atau apa pendirian badan bukan kerajaan untuk cegah kemungkaran yang berlaku depan mata,” katanya di media sosia.


Baca Ada orang tak rasa bersalah fitnah kerajaan PH sokong LGBT


Pada era pemerintahan PH satu daripada isu yang dijadikan bahan serangan pembangkang ketika itu ialah LBGT. Mujahid misalnya dikecam kerana dianggap berlembut dengan golongan berkenaan.

Bagaimanapun untuk rekod program mendekati golongan berkenaan lebih awal dilakukan Zulkifli atas kapasitinya sebagai mufti Wilayah Persekutuan.

Kata Zulkifli Islam adalah agama yang bersifat mendidik dan menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk membimbing golongan berkenaan supaya berubah.

"Kita tidak hanya mahu tangkap semata-mata tetapi yang paling utama adalah tarbiah (pendidikan) dengan cara yang paling berhikmah agar mereka semua (transgender) kembali ke pangkal jalan.

"Islam adalah agama yang mendidik. Ini perlukan usaha yang bersepadu dari semua agensi di bawah JPM (Hal Ehwal Agama)," kataya lagi.

 

Lihat Komen
ADS