Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Kanan, Azmin Ali, memberi bayangan bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-15 masih lambat untuk diadakan.

“PRU lambat lagi,” katanya ketika ditanya apakah rundingan mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan anggota Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini menteri perdagangan antaabangsa dan industri itu dilaporkan berkata kerajaan PN bersedia untuk mengadakan pilihan raya mengejut pada bila-bila masa. 

Ia mencetuskan spekulasi bahawa Putrajaya - yang dibayangi isu sokongan tehadap Muhyiddin Yassin - akan membubarkan parlimen bagi mendapatkan mandat daripada pengundi.

Untuk rekod semua parti dalam PN sekarang - kecuali Bersatu - gagal mendapat mandat dalam PRU ke-14 lalu namun kerjasama di antara mereka membolehkan blok itu menguasai Dewan Rakyat dan membentuk kerajaan.

Azmin dianggap antara watak utama yang menggerakkan Langkah Sheraton yang menjadi permulaan kejatuhan kerajaan PH.

Selepas Muhyiddin dilantik menjadi perdana menteri, beliau memberikan jawatan menteri kanan kepada Azmin.

Akan bertanding di Gombak

Ditanya bagaimana sekiranya PRU ke-15 benar-benar diadakan dalam waktu terdekat, Azmin enggan mengulas mengenai kemungkinan itu.

“Kalau [...] Jangan kalau,” jawabnya.

Minggu lalu, Sin Chew Daily memetik Azmin sebagai berkata bahawa PN di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin memiliki cukup kriteria untuk mengadakan PRU mengejut pada bila-bila masa.

Katanya PRU boleh diadakan pada tahun ini atau tahun depan.

Untuk rekod tidak seperti kebanyakan negara lain, kerajaan 'berahsia' mengenai tarikh pembubaran parlimen yang bagi membolehkan PRU diadakan.

Biasanya pengumuman mengenainya dibuat secara mengejut, menjadikan kerajaan semasa memiliki kelebihan membuat persediaan rapi berbanding pembangkang.

Sementara itu, ditanya bagaimana rancangan PN untuk mengelak masalah perebutan kerusi dalam PRU akan datang, Azmin cuma menjawab ringkas.

“Runding,” jawabnya.

Semalam, Setiausaha Agung BN Annuar Musa memberi bayangan gabungan itu tidak akan bertolak ansur mengenai kerusi mereka dalam PRU akan datang. 

“Barisan Nasional berhasrat mempertahankan semua kerusi tradisinya sama ada dimenanginya PRU-14 atau yang dimenangi PRK kemudiannya,” ciapnya di Twitter.

Buat masa ini, Azmin dan kumpulannya dilihat 'berteduh' bersama Bersatu meskipun mereka belum secara rasmi menyertai parti itu.

Beliau turut disoal pemberita mengenai hala tuju politiknya dalam PRU akan datang, memandangkan statusnya belum menyertai Bersatu dan kelmarin pula menafikan mahu menubuhkan parti baru.

“Hala tuju politik saya, (apabila) sampai pilihan raya, saya akan bertanding di parlimen Gombak,” jawabnya.

Lihat Komen
ADS