Petronas timbang tawaran pegangan strategik dalam Rosneft
Syarikat minyak Malaysia Petronas berkata ia sedang menimbang tawaran membeli pegangan strategik dalam syarikat minyak milik kerajaan Russia, Rosnef, yang akan disenaraikan di pasar saham London dan Moscow.
Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican berkata, pihaknya dijemput membeli saham tawaran awam awal (IPO) syarikat berkenaan apabila ia disenaraikan nanti.
Rosneft dilaporkan berkata tempoh langganan sahamnya di bawah IPO itu di London dan Moscow adalah dari 26 Jun hingga 10 Julai depan.
Hassan memberitahu Bernama, syarikat itu mempunyai tempoh 10 hari dan beliau mengesahkan Petronas sedang menimbangnya.
Menurut Rosneft, syarikat berkenaan menjangka perolehi AS$11.6 bilion apabila sahamnya disenaraikan di pasaran saham London dan Moscow.
Penyenaraiannya di kedua-dua pasaran saham tersebut yang turut menimbul kontroversi kerana latarbelakang perniagaan syarikat berkenaan dijangka dibuat awal bulan ini.
Temui empat syarikat
Manakala syarikat minyak Russia, Yukos telah meminta badan pemantau pasaran saham Britain supaya menyekatkan penawaran IPO itu kerana mendakwa Rosneft telah mencuri asetnya.
Rosneft telah membeli aset pengeluaran utama Yukos Yuganskneftegaz pada 2004 ketika berlaku kempen terhadap Yukos yang dianggap dikuasai Kremlin.
Petronas adalah antara empat syarikat yang ditemui Rosneft untuk menawarkan pegangan strategik bernilai antara RM50 juga hingga RM1 bilion, lapor Bernama.

