Paling Popular
Terkini

Menteri Kanan Azmin Ali tidak ambil pusing mengenai kata-kata dan label yang dilemparkan sesetengah pihak kepadanya.

“Dia nak label saya apa pun, dah label macam-macam dah pada saya. Tak ada terkesan pun.

“Yang penting, our conscience (moral kita), damir (hati nurani) kita jelas, mengapa kita berada di sini. Itu penting.

“Nak label saya apa pun, terpulang kepada mereka,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Stellar Focus Sdn Bhd di Gombak hari ini.

Sebelum ini, beberapa ahli politik menyuarakan kenyataan berunsur tidak senang dengan Azmin serta rakan-rakannya daripada PKR yang kini berada di bawah pentadbiran PN.

Ini termasuklah sekutu mereka sendiri daripada parti komponen PN yang lain.

Dikatakan terdapat pihak dalam Umno yang menggelarkan kelompok Azmin sebagai G10, ketika membincangkan tentang agihan kerusi antara parti itu dengan Umno dan mereka.

PN kini berdepan isu agihan kerusi yang mengundang pelbagai kenyataan daripada pemimpin-pemimpin parti komponen, terutamanya selepas Umno dan PAS mengeluarkan kenyataan menyokong Muhyiddin untuk pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Terbaru, Setiausaha Agung BN Annuar Musa semalam berkata gabungan itu akan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi mereka dalam PRU dan pilihan raya kecil (PRK) yang lepas.

Ini bermakna ia akan turut melibatkan beberapa kerusi yang kini dipegang Bersatu yang pada asalnya dimenangi Umno pada PRU14, sebelum ahli parlimennya berpaling tadah selepas Mei 2018, antaranya Mersing, Larut, Masjid Tanah dan Bagan Serai.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata penyertaannya di dalam kerajaan PN untuk memperkukuh kerajaan yang memberikan keutamaan kepada rakyat dan ekonomi negara.

Malah, Azmin turut memuji Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai seorang yang tenang.

“Dia (Muhyiddin) guna tema saya juga. Kekal tenang.

“Jangan panik. Kekal tenang. Insya-Allah kita boleh catatkan kejayaan,” katanya lanjut. 

Lihat Komen
ADS