Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi utama kes Adib ubah pengakuan kepada polis

Ketika banyak pihak ternanti-nanti perkembangan siasatan kes pembunuhan Muhammad Adib Mohd Kassim, polis hari ini memberitahu seorang saksi penting mengubah keterangannya.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, perubahan keterangan itu diberi semasa saksi terbabit disoal sekali lagi baru-baru ini.

"Saksi berkenaan mengubah keterangan dia... seorang lelaki India," katanya kepada media pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Terdahulu Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberikan perkembangan terkini mengenai siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berkenaan.

Huzir merujuk kepada seorang kontraktor, N Suresh, yang sebelum ini memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam bahawa pada 27 Nov 2018 dia menyaksikan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Semasa memberi keterangan pada Feb tahun lalu Suresh memberitahu dia melihat arwah Adib terduduk dan bersandar pada bumper kereta yang dikelilingi puluhan orang.

Kata Suresh dia terdengar beberapa orang dalam kerumuman itu menjerit dalam bahasa Tamil "jangan pukul!" dan "bomba pun mereka pukul" sebelum melihat mangsa dibawa pergi dari situ tanpa berkasut dan berbaju.

Huzir Mohamed

Ditanya apakah ada tindakan yang boleh dikenakan jika saksi terbabit menipu mahkamah koroner, Huzir berkata: "Kita akan bawa balik keterangan dia kepada DPP (timbalan pendakwa raya) untuk dilihat jika bercanggah. Biar DPP tentukan."

Bagaimanapun Huzir tidak mendedahkan maklumat lain mengenai apa yang dinyatakan saksi terbabit semasa soal siasat tersebut.

Terdahulu Abdul Hamid memberitahu PDRM sudah memanggil semula semua 30 saksi yang memberi keterangan dalam inkues selain 52 saksi baru.

Bagaimanapun kata beliau tidak ada seorang pun daripada mereka dapat memberitahu polis mereka nampak Adib dipukul dalam rusuhan berkenaan.

Beri cadangan kepada KDN

Kematian Adib menjadi satu daripada isu yang digunakan pembangkang semasa Pakatan Harapan (PH) berada di Putrajaya selama 22 bulan dengan mendakwa kerajaan gagal memberikan keadilan kepada arwah.

Antara pembangkang yang lantang bersuara ialah PAS.

Kini ketika PAS adalah sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional, orang ramai kembali mendesak agar kes itu diselesaikan dan orang yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Adib dibawa ke muka pengadilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebelum ini memberitahu, kerajaan sedang menunggu PDRM menangkap suspek pembunuhan terbabit. 

Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad kemudian mendakwa rakyat berasa lega dengan penjelasan diberikan Takiyuddin itu. 

Pada 27 Sept tahun lalu semasa menyampaikan keputusannya, koroner Rofiah Mohamad berkata Adib meninggal dunia kerana perbuatan jenayah membabitkan dua atau tiga penyerang tidak dikenal pasti.

Mahkamah juga menerima keterangan bekas ketua Jabatan Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Shahrom Abdul Wahid, yang mengemukakan teori bahawa anggota bomba terbabit mengalami kecederaan parah kerana terhimpit di antara pintu dan jenang pintu kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Berdasarkan keterangan dan bukti - termasuk daripada Suresh - mahkamah mendapati ada antara 20 hingga 30 orang menyerang Adib.

Ekoran itu polis membuka semula kes berkenaan dan menyiasatnya atas kesalahan membunuh.

Sementara itu Abdul Hamid menggesa sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut agar tampil membantu polis.

Kata ketua polis negara, tanpa saksi yang boleh menyalurkan maklumat sebenar mengenai kejadian tersebut, polis berdepan dengan dapatan yang bercanggah daripada dua ahli patologi yang memberi keterangan sebelum ini.

"Oleh sebab itu polis bercadang menubuhkan satu pasukan bagi mengkaji semula pandangan dan dapatan patologi tersebut.

"Kami nak cadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mengkajinya semula," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS