Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Orang Kampung Solok Wan Moh tidak faham, apa itu “fiddle”? Satu dua hari ini, sesetengah pemimpin Umno sendiri yang mengejek parti mereka, sebagai fiddle — pemain biola kecil di belakang sebuah persembahan orkestra.

Apa yang orang kampung faham, ialah perkataan “penyendal”.

Semua keturunan Melayu akan sangat-sangat faham kalau dikatakan, Umno sudah jadi parti penyendal. Bukan lagi parti utama. Bukan lagi Umno yang penuh dengan sejarah gemilang dan terhormat sehingga jawatan tertinggi dalam negara wajib datang dari seorang pemimpin Umno.

Tapi itu semua dulu. Orang Umno jangan marah saya kerana pemimpin utama mereka sendiri yang memilih untuk menjadikan Umno sebagai parti penyendal—menyendal sesuatu yang lebih besar. Kalau ditarik penyendal, maka sesuatu yang lebih besar akan runtuh menghembap. Termasuk menghembap si penyendal.

Ibarat kata, diluah mati bapa. Ditelan mati emak. Jadi keadaan Umno sekarang ibarat terkulum-kulum di dalam mulut. Ke depan tidak jalan. Ke belakang masuk gaung.

Masalah dan beban Umno bukan untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan (PH). Melainkan yang disendal, iaitu Bersatu atau Perikatan Nasional (PN)—sebuah gabungan yang jelas sehingga kini tidak direlai oleh Umno. Bagi Umno, PN seperti anak haram—hendak dibuang berdosa, hendak dibela menghabiskan beras dan menyusahkan betul.

Sejak pilihan raya umum (PRU) 2018, dua kali Umno-BN kalah. Kali pertama ialah di dalam PRU itu sendiri apabila bersama BN, Umno julung kalinya hilang kuasa.

Dalam tempoh 22 bulan, pemimpin Umno berikhtiar bukan main ligat untuk mengembalikan kuasa. Bagi Umno, mereka tidak pernah hidup kalau tidak berkuasa. Mereka tidak tahu hidup, tanpa kuasa.

Takutnya hilang kuasa, macam takut hilang nyawa. Sebab itulah sesetengah orang bilang, musuh nombor satu Umno bukan DAP. Musuh nombor satu Umno ialah hilang kuasa.

Dalam usaha menebus kuasa yang terlepas pada 9 Mei 2018, “Langkah Sheraton” dilihat sebagai peluang untuk kembali ke Putrajaya. Kembali menjadi kerajaan.

Mungkin ada pemimpin Umno yang terdesak untuk kembali menjadi kerajaan kerana kes-kes yang bertimbun di dalam mahkamah. Tidak mengapalah kalau tidak dapat menjadi PM sekali pun—dan diserahkan kepada Bersatu—asal dapat kembali menjadi sebahagian kerajaan terlebih dahulu.

Detik kekalahan

Lagi pula, ikut pertimbangan sesetengah pemimpin Umno, mereka bakal menguasai semula beberapa negeri seperti Johor dan Melaka. Bukankah itu rezeki datang bergolek sementara di dalam PRU, rakyat sudah menolak Umno?

Tetapi rupa-rupanya, ceritanya lain. Tanpa disedari dan disangka-sangka, “Langkah Sheraton” itulah sebenarnya detik kekalahan kedua Umno. Macam sudah jatuh ditimpa tangga—selepas berlepuk, berlepak pula.

Minggu sudah kita mendapat berita, Presiden Umno, Zahid Hamidi bersetuju untuk menyokong Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menjadi PM bagi penggal akan datang. Umno memang mengidam PRU mengejut dek yakinnya mereka akan kembali mendapat sokongan.

Kalau ada PRU mengejut, janji kepada Muhyiddin ialah Muhyiddin akan diangkat sekali lagi ke pundak perdana.

Di situlah akan menjadikan sebagai apa yang saya sebut “penyendal” itu tadi. Kesannya ialah, berkemungkinan besar bahawa buat selama-lamanya jawatan PM tidak akan dapat dikembalikan semula kepada Umno. Dalam erti kata lain, hampir pasti Najib Razak adalah PM terakhir dari Umno dalam sejarah negara ini.

Bagi orang Umno di bawah, di kampung-kampung, termasuklah Kampung Solok Wan Moh, Batu Pahat, adalah lebih baik mereka menyertai Bersatu sahaja daripada kekal di dalam Umno. Kalau menjadi anggota Umno, pandangan, idea dan tuntutan mereka perlu melalui selapis lagi tapisan iaitu Bersatu. Alasannya senang, sebab PM—sebagai orang paling berkuasa melaksanakan sesuatu dasar—adalah dari Bersatu.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) juga tidak akan lebih bermakna berbanding Perhimpunan Agung Bersatu (PAB). Suara di dalam PAB pasti lebih mudah menjadi dasar kerajaan berbanding suara di dalam PAU. Apa Sebabnya? Sekali lagi sebab PM adalah pemimpin yang menghadiri PAB. Bukan PAU.

Kekalahan dalam diam yang dialami Umno ini lebih teruk sebenarnya berbanding kekalahan di dalam PRU lalu. Umno ibarat dibunuh dengan santau angin. Dibunuh secara halus. Bukan kalah bertikam di dalam pencak silat sepertimana seorang anak jantan.

Kesan daripada pengumuman Zahid menyokong Muhyiddin sebagai PM tentu akan melarat kepada pembahagian kerusi dalam PRU. Bahkan mungkin juga ada kesan kepada penggunaan logo yang mana—logo BN-kah, atau logo PN-kah?

Saya menyangka, perbincangan soal logo, PN dengan mudah akan mengalah. Tidak mengapalah kalau menggunakan logo dacing sekali pun. Perbincangan mengenai logo boleh dijangka akan lebih rumit di antara “dacing” dengan “bulan”. Terutama di negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, bahkan mungkin juga Perak, Selangor dan Johor.

‘Mahu ambil Bukit Bintang, ambillah!’

Timbal balik daripadanya ialah soal calon, dengan Bersatu mahu tidak mahu perlu diberi kerusi untuk sekurang-kurangnya kerusi ahli parlimen yang sedia kala menang sekarang. Kalau pun ditambah sedikit, ditambah dengan kerusi yang Umno atau BN atau Muafakat Nasional (MN) sukar untuk menang.

Dalam contoh yang ekstrem, kalau Bersatu mahu ambil Parlimen Bukit Bintang, ambillah! Umno dan BN tak ada masalah.

Dengan muka yang pahit, sekali lagi Umno akan mengalah dan mati langkah. Kalau tidak, Umno akan ditakut-takutkan, “ayo-ayo… PH akan menang, kau akan masuk penjara! Kah kah kah…” Maka di antara hilang kerusi tapi boleh berkuasa, daripada banyak kerusi tetapi PH yang menang dan masuk penjara, adalah lebih baik pilihan pertama.

Di sinilah yang saya maksudkan, Umno sebenarnya kalah dua kali. Dan sejak kalah 9 Mei beserta “Langkah Sheraton”, silap gaya Umno akan tinggal seperti parti Golkar di Indonesia. Selepas Reformasi 1998, tidak ada lagi Presiden Indonesia dari Golkar.

Dari Seoharto turun ke BJ Habibie. Selepas itu, semua Presiden Indonesia merupakan daripada parti yang lain. Kuning pada warna panji Golkar juga mulai pudar.

Kawasan yang dahulunya menjadi kubu Golkar, sekarang tidak lagi. Di depannya Golkar—dan mungkin juga di depan Umno—seperti sudah tersedia sebuah liang hitam yang sepi.

Orang Umno jangan marah Anwar atau PKR kerana selama ini, PH menentang BN dengan cara anak jantan. Yang menyeret Umno ke lubang kematian itu adalah pemimpin Umno sendiri. Di belakangnya gesekan biola yang ngeri sekali.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS