mk-logo
Berita
'PN dah gila ke?' - Keluarga Teoh Beng Hock bantah lantikan peguam cara baru
Diterbitkan:  Jul 10, 2020 10:27 PM
Dikemaskini: 2:40 PM

Keluarga mendiang Teoh Beng Hock menyuarakan bantahan terhadap lantikan Abdul Razak Musa sebagai peguam cara negara yang baru.

Menyorot penglibatan kontroversi Abdul Razak dalam inkues Beng Hock pada 2011, keluarga itu mempersoalkan sekiranya kerajaan sudah tidak ada orang lain lagi yang layak bagi mengisi jawatan tersebut.

Mewakili keluarga berkenaan dalam satu kenyataan hari ini, adik perempuan Beng Hock, Teoh Lee Lan berkata pelantikan Abdul Razak menjadikan Malaysia satu “jenaka antarabangsa”.

“Perikatan Nasional (PN) dah gila ke? Apakah negara sudah kehabisan peguam sehinggakan peguam dengan wibawa seperti itu pun boleh dilantik ke dalam Jabatan Peguam Negara (AGC)?

“Apakah ada harapan untuk keadilan dan justifikasi buat keluarga mereka yang mati kerana ketidakadilan ini? 

"Lantikan itu tanpa ragu lagi menjadikan negara kita satu jenaka di persada antarabangsa,” katanya.

Lee Lan (gambar, atas) membangkitkan bagaimana ketika inkues itu, Abdul Razak yang ketika itu timbalan pendakwa raya membangkitkan kemungkinan Teoh mencekik lehernya sendiri dan menunjukkan demonstrasi dakwaan berkenaan di Mahkamah Koroner.

Dia turut mengimbau bagaimana semasa inkues itu, Abdul Razak secara terbuka memperlekeh Karpal Singh yang mewakili keluarga Teoh, dengan mengejek kecacatan peguam itu.

“Akhirnya, kes Teoh dibuka semula untuk penyiasatan. 

"Sebagai bekas peguam SPRM, Abdul Razak wajar menarik diri untuk menegakkan keadilan,” kata Lee Lan.

Abdul Razak Musa ketika perbicaraan di Mahkamah Koroner.

Beng Hock, yang merupakan pembantu Adun DAP Ean Yong Hian Wah, ditemui mati terjatuh dari tingkat sembilan bangunan ibu pejabat SPRM Selangor ketika itu, di Shah Alam, pada 16 Julai 2009.

Dia ditahan semalaman di ibu pejabat tersebut untuk soal siasat.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan terbuka koroner berhubung kematian Beng Hock, dan memutuskan bahawa kematian mendiang adalah kematian dalam tahanan, disebabkan terjatuh yang mungkin dipercepat oleh tindakan individu tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM.

Mahkamah turut mengarahkan polis untuk melakukan siasatan ke atas kematian itu.

Ekoran keputusan itu, SPRM bersetuju membayar RM600,000 kepada keluarga Teoh sebagai penyelesaian atas kes saman terhadap kecuaian suruhanjaya berkenaan.

AGC kemudiannya merumuskan bahawa tiada unsur jenayah dalam kematian Beng Hock.

Kesan ke atas kes Teoh?

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Teoh Beng Hock Trust for Democracy, Ng Geok Chee memberitahu Malaysiakini bahawa beliau “hilang kata-kata” dan “tidak berdaya” apabila mendapat tahu mengenai pelantikan Abdul Razak.

Beliau menyuarakan rasa bimbang terhadap kes Teoh yang kini dibuka semula.

“Kerajaan, sudah tentu, ada kuasa melantik sesiapa saja.

“Bagaimanapun, kami fikir lantikan pegawai atasan harus dibuat dengan penuh cermat. Kemampuan dan kualiti profesional calon perlu diambil kira,” kata Ng (gambar, bawah).

“Meskipun peguam cara tidak terlibat secara langsung dalam kes jenayah, (tetapi) memandangkan beliau kini dilantik dalam AGC, kami bimbang sekiranya akan sampai ke satu tahap, akan wujud kesan terhadap kes Teoh,” katanya lagi.

Peguam cara negara ibarat timbalan kepada peguam negara dan boleh melaksanakan fungsi-fungsi peguam negara.

Pelantikan itu belum diumumkan secara rasmi tetapi Malaysiakini telah mendapatkan pengesahan daripada Peguam Negara Idrus Harun mengenai perkara berkenaan.


Laporan tambahan oleh Wong Kai Hui.

[Baca berita asal]

ADS