Kegiatan anti kerajaan di kalangan kakitangan awam pada masa ini masih terkawal dan belum mencapai tahap yang serius, kata Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Menurut Datuk Khamsiyah Yeop dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, kerajaan sedar kegiatan itu dilakukan oleh segelintir pegawai dan kakitangan terbabit yang mempunyai kecenderungan politik tertentu.

Namun katanya, kerajaan yakin kakitangan mengamalkan prinsip berkecuali dan memberikan perkhidmatan secara profesional, adil dan saksama kepada orang ramai tanpa mengira kecenderungan politik mereka.

"Dalam sistem pentadbiran awam negara ini, kita mengamalkan prinsip bahawa pegawai awam hendaklah bersikap berkecuali di mana seseorang pegawai awam yang profesional dikehendaki memberikan taat setia mereka kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah," katanya.

Beliau menjawab soalan Kerk Kim Hock (DAP- Kota Melaka) yang meminta dinyatakan tahap seriusnya sentimen anti kerajaan di kalangan pegawai dan kakitangan dan apakah puncanya.