Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker umum Anwar ketua pembangkang parlimen
Diterbitkan:  Jul 13, 2020 10:41 AM
Dikemaskini: 3:10 AM

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof secara rasmi mengumumkan Anwar Ibrahim (PH – Port Dickson) dipilih sebagai Ketua Pembangkang Parlimen

“Saya suka hendak memaklumkan iaitu mengikut maklum balas yang saya terima, saya berpuas hati bahawa Anwar Ibrahim, ahli parlimen Port Dickson telah mendapat sokongan dari kalangan ahli-ahli pembangkang di parlimen untuk dilantik sebagai ketua pembangkang.

“Syabas YB Port Dickson,” katanya.

Ekoran wabak Covid-19, Ariff berkata perjalanan sidang parlimen harus dilakukan dalam norma baru.

“Begitu juga di Dewan Rakyat, ahli-ahli YB turut perlu melalui normal baru dan sentiasa mematuhi penjarakan.

“Tambahan pula, terdapat 87 ahli Dewan Rakyat yang berumur melebihi 60 tahun yang pastinya lebih berisiko,” katanya.

'Bung Moktar bimbang MP tersungkur'

Beliau turut menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) Dewan Rakyat bagi memastikan penjarakan sosial, termasuklah hanya 174 ahli parlimen yang akan dibenarkan duduk di ruang utama Dewan Rakyat.

Sebahagian ahli-ahli penyokong kerajaan (backbenchers) dan ahli bebas ditempatkan di galeri awam, manakala sebahagian ahli pembangkang ditempatkan di tempat duduk pegawai di bahagian kiri speaker, di sebelah belakang.

Ariff berkata, ahli-ahli parlimen berkenaan boleh menggunakan mikrofon yang disediakan untuk mereka, atau boleh turun ke tempat yang dikhaskan jika mereka mahu mengajukan sebarang pertanyaan atau perbahasan.

Anwar kemudiannya meminta speaker untuk memasang mikrofon untuk ahli parlimen yang duduk di galeri awam dan kawasan pegawai, sebelum speaker meminta mikrofon tanpa wayar disediakan untuk mereka.

Bung Mokhtar Radin (PN- Kinabatangan) turut bersetuju dengan Anwar, sambil meluahkan rasa bimbangnya bahawa rakan-rakan ahli parlimen yang duduk di galeri awam mungkin tersungkur ketika turun ke kawasan khas berkenaan, sebelum sempat mengajukan soalan atau perbahasan. 

Lihat Komen
ADS