Akhbar New Straits Times (NST) tidak akan menyiarkan surat dari pembantu peribadi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyuarakan rasa tidak puashati terhadap tulisan dalam sebuah kolum yang disiarkan dalam akhbar harian berbahasa Inggeris itu seminggu yang lalu.

Ketika dihubungi, seorang editor kanan di NST berkata, akhbar berkenaan mempunyai "budibicara mutlak" dalam menentu penyiaran surat dari pembaca.

Surat bertarikh 26 Jun itu sebagai jawapan kepada kolum tulisan Timbalan Pengarang Kumpulan, Brendan Pereira yang disiarkan pada hari yang sama telah diedarkan secara meluas melalui Internet.

Dalam surat tersebut, Sufi Yusoff, yang merupakan pembantu kepada peribadi bekas Perdana Menteri itu sejak 1998, telah mengkritik tulisan dalam kolum tersebut, yang bertajuk 'Turning to what works best in dire situations', yang turut memuatkan komen Dr Mahathir dalam satu perjumpaan awam pada 24 Jun di Kuala Lumpur.

Antara mereka yang hadir di perjumpaan kontroversi tersebut ialah beberapa pemimpin tertinggi parti pembangkang PAS.

Dalam suratnya itu, Sufi berkata, adalah tidak adil bagi Pereira mengecam Dr Mahathir kerana berucap di majlis yang berita mengenainya tidak disiarkan oleh akhbar berkenaan.

"Nampaknya, ada pendekatan baru yang diambil oleh NST dan Pereira," kata Sufi, sambil menambah, timbalan pengarang kumpulan NST itu tidak dapat menjustifikasikan komennya itu kerana "beliau tidakpun menghadiri majlis tersebut".

Laporan muka depan

Sufi menambah, wartawan NST ataupun Pereira juga tidak menghadiri sidang akhbar Dr Mahathir yang lebih kontroversial di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 7 Jun di mana bekas Perdana Menteri itu melancarkan serangan keras terhadap pengganti pilihannya sendiri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Namun NST telah menyiarkan laporan mengenainya di muka depan pada terbitan 8 Jun lalu di bawah nama Pereira," kata Sufi.

Menurutnya, bahagian awal laporan tersebut dipenuhi dengan komen Pereira yang mendramatikkan sidang akhbar tersebut.

Oleh itu, katanya akhbar rersebut, sebagai sebuah akhbar perdana, telah menidakkan pembacanya peluang untuk menilai sendiri suasana tersebut secara bebas, apabila beliau tidak melaporkan mengenai majlis sebenarnya. Terjemahan