Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PN berjaya gugurkan Ariff sebagai speaker
Diterbitkan:  Jul 13, 2020 2:38 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Usul kerajaan untuk Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan sebagai speaker Dewan Rakyat diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 ahli parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Mengumumkan keputusan undi berkenaan, timbalan speaker Mohd Rashid Hasnon juga berkata seorang ahli parlimen tidak hadir.

Usul itu dicadangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan speaker.

Perdana Menteri dijadual membawa usul mencadangkan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan @ Harun dipilih menjadi speaker mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat selepas ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan ketika menggulung perbahasan usul itu menjelaskan pertukaran jawatan-jawatan utama termasuk speaker Dewan Rakyat dalam negara lazim berlaku apabila kerajaan baru mengambil alih tampuk pemerintahan.

Menurutnya perdana menteri telah memberi notis untuk pencalonan nama baharu bagi jawatan speaker Dewan Rakyat pada 29 Jun lalu dan perkara itu telah diterima dan dimasukkan sebagai satu usul yang perlu dibahaskan.

“Kita (kerajaan) juga setelah membuat penilaian dan berpendapat bahawa Speaker perlu ditukar dengan alasan (Mohamad Ariff) tidak boleh memenuhi hasrat dan aspirasi kerajaan sedia ada,” katanya.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan pembangkang mengenai sama ada perlu ada kekosongan untuk melantik speaker baharu, Takiyuddin berkata Perkara 57 (2) (c) Perlembagaan Persekutuan menyatakan speaker Dewan Rakyat hendaklah mengosongkan jawatannya jika pada bila-bila masa dewan membuat ketetapan sedemikian.

Sementara itu, ahli parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad ketika membahaskan usul itu berpendapat pemilihan seorang speaker mestilah seorang yang neutral dan tidak memihak kepada mana-mana pihak bagi memastikan sesuatu keputusan yang dibuat tidak mengikut telunjuk kerajaan.

“Adalah bukan tugas Speaker untuk ikut telunjuk dalam kerajaan… kenapa nak takut, kamu (kerajaan) ada lebihan bilangan dalam dewan ini,” katanya.

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim pula menegaskan pencalonan speaker baharu adalah mengikut peraturan dan tertib dengan mengemukakan notis 14 hari sebelum mesyuarat bermula.

Lihat Komen
ADS