Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: 7 kes baru, KKM kesan kluster baru di Melaka
Diterbitkan:  Jul 13, 2020 5:57 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan bahawa satu kluster baru berjaya di kesan di Melaka.

“Kluster ini telah dikenalpasti apabila terdapat kes ketiga yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan kontak rapat kepada kes kedua bagi kluster ini.

“Kes pertama kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8673) yang telah pulang ke Malaysia dari negara Rusia pada 5 Julai lalu,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi perkara itu di Facebook.

Menurutnya, keputusan saringan di Pintu Masuk Antarabangsa didapati positif dan beliau kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Kes kedua kluster ini iaitu kes ke-8718 merupakan rakan kepada kes ke-8673. Mereka telah menaiki pesawat yang sama, juga pada 5 Julai.

“Keputusan saringan bagi kes ke-8718 di Pintu Masuk Antarabangsa didapati negatif, namun beliau mula mengalami gejala demam dan gejala saluran pernafasan pada 7 Julai. Saringan ulangan didapati positif Covid-19,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 13 Julai, terdapat tiga kes positif dan 14 orang kontak rapat telah dikenalpasti dalam kluster itu.

Kluster Novgorod

Menurutnya, semua 14 orang kontak rapat telah disaring dan dikesan negatif. Namun siasatan dan akitiviti pengesanan kontak rapat secara aktif adalah diteruskan.

“Terdapat penularan jangkitan Covid-19 kepada seorang ahli keluarga daripada kes yang mendapat jangkitan dari luar negara (iaitu kes ke-8718).

“Ketibaan beliau (kes ke-8718) di Malaysia pada 6 Julai telah disambut oleh ahli keluarga beliau. Seramai empat orang ahli keluarga telah datang bersama-sama dengan menaiki kereta sendiri untuk menjemput beliau di pintu masuk antarabangsa.

“Hasil siasatan mendapati bapa kepada kes tersebut (iaitu kes ke-8724) turut dikesan positif Covid-19 selepas beliau mula mengalami gejala demam. Ini menjadikan beliau kes ketiga Kluster PUI Novgorod,” katanya merujuk nama daerah di Russia itu.

Pada sidang medianya, Dr Noor Hisham berkata, tujuh kes baru dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 8,725 kes.

Menurutnya, empat kes sedang dirawat di ICU, dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 83 orang.

Tiada kematian

Beliau juga mengumumkan tiada kes baru kematian manakala satu kes pulih dan dibenar discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pulih kini 8,520 kes.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini, hanya ada satu kes yang sudah pulih dan dibenarkan pulang, ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 8,520 kes atau 97.6 peratus.

"Sehingga kini, empat pesakit masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

 

Lihat Komen
ADS