Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh Pejabat Peguam Negara.

Sehubungan itu, katanya, jika Peguam Negara tidak mengambil tindakan ke atas sesuatu kes, maka beliau tidak boleh meminta atau mengarahkan kes itu didakwa dan dibicarakan.

"Jika Peguam Negara tidak mengambil tindakan lanjut, saya tidak boleh arahkan polis supaya menangkap suspek," katanya ketika menjawab soalan Karpal Singh (DAP-Tasik Gelugor) di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Karpal ingin tahu mengapa Peguam Negara tidak mengambil tindakan lanjut ke atas sesuatu kes meskipun kertas siasatan telah siap dan mempunyai bukti untuk dibuat pendakwaan.

Karpal juga mendakwa, bekas Peguam Negara Tan Sri Mokhtar Abdullah telah menghentikan tindakan ke atas Peguam Datuk Mohd Shafee Abdullah yang dikatakan cuba mengugut seorang Hakim Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, Pengerusi Kebangsaan DAP itu meminta penjelasan mengenai perkara itu kerana beliau mendapat tahu fail kes itu ada di Pejabat Peguam Negara.

Nazri dalam jawabannya berkata, memandangkan Mokhtar telah meninggal dunia, Karpal boleh menulis surat kepada beliau untuk mendapatkan jawaban mengenai perkara tersebut.

Karpal juga mendakwa mungkin ada unsur-unsur untuk menyembunyikan perkara sebenar dalam kes itu tetapi Nazri menafikan dakwaan tersebut.

Menjawab soalan lain, Nazri berkata, Malaysia tidak memerlukan khidmat peguam dari luar negara kerana jumlah yang ada mencukupi untuk mengendalikan kes mahkamah.

Mengenai pemberian sijil latihan guaman kepada peguam, Nazri berkata, ia adalah dalam bidangkuasa Majlis Peguam dan bukannya kerajaan.

Oleh itu, katanya, kerajaan tidak pernah menganggu urusan pemberian sijil berkenaan.