Malaysiakini
BERITA

Lebih RM63 juta dimasukkan ke akaun Jepak Holdings - Pengurus Bank

Bernama

Diterbitkan

KES ROSMAH | Seorang pengurus bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, bahawa wang berjumlah lebih RM63 juta telah dimasukkan ke dalam akaun bank milik Jepak Holdings Sdn Bhd, oleh Kementerian Pendidikan pada 2017.

Wong Ping, 40, pengurus Cawangan CIMB Bank Bintulu Sentral ketika membacakan penyataan saksinya berkata, merujuk kepada penyata akaun CIMB Bank Berhad milik Jepak Holdings bertarikh 4 Ogos 2017, terdapat lima transaksi kemasukan wang berjumlah RM63,671,100 dimasukkan ke dalam akaun itu.

“Kesemua kemasukan wang adalah dari akaun bank milik Kementerian Pelajaran (Pendidikan). Baki akaun (dalam CIMB) selepas kesemua kemasukan ialah RM64,146,262.31,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-13 itu memberi keterangan pada hari ke-15 perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor, 68, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta, daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah Datuk Rizal Mansor, sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di Kuala Lumpur; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Sementara itu, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Na’im Mahmod, 29, memberitahu mahkamah, bahawa beliau telah diarahkan untuk menyediakan pelan lakar kawasan rumah Rosmah di mana kedua-dua beg galas berisi wang diletakkan, di rumah isteri bekas perdana menteri itu di Jalan Langgak Duta.

“Pada 2 Nov 2018, jam 10 pagi, saya bersama beberapa pegawai SPRM telah pergi ke rumah Datin Seri Rosmah dan setibanya di rumah itu sekitar 11 pagi, saya diarahkan oleh Penguasa Rekhraj Singh, untuk menyediakan pelan lakar kawasan rumah berkenaan.

“Semasa berada di dalam rumah, Shamsul Rizal Sharbini (yang turut dibawa ke rumah Rosmah) telah menunjukkan kedudukan Datuk Rizal, Saidi dan Rayyan Radzwill Abdullah dan beliau sendiri (Shamsul Rizal), ketika beliau sampai pada hari penghantaran dua beg galas berisi wang ke rumah itu, dan saya diminta untuk melakar dan menandakan kawasan yang ditunjukkan oleh Shamsul Rizal,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata, Saidi dan Rayyan Radzwill turut dibawa untuk menunjukkan tempat pertemuan dengan Rosmah dan Rizal, serta kedudukan dua beg galas yang mengandungi wang berkenaan .

Dalam prosiding sebelum ini, Shamsul Rizal, yang juga bekas pemandu Saidi memberitahu mahkamah bahawa, beliau telah meletakkan dua beg galas berisi bungkusan wang denominasi RM100 di atas sofa hijau di kediaman Najib dan Rosmah, pada penghujung 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.