Malaysiakini
BERITA

Kes Adib: Keputusan inkues tak mengikat siasatan polis, kata IGP

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Jul 2020, 5:14 petang

Pasukan Kajian Semula berhubung kematian Muhammad Adib Mohd Kassim bukan bermakna tidak menghormati keputusan Mahkamah Koroner dalam inkues menyiasat punca kematian anggota bomba itu, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid berkata, keputusan Mahkamah Koroner tidak mengikat mana-mana pihak untuk mencari bukti dan dapatan baru, sebaliknya penemuan dan dapatan baru akan dapat menentukan sama ada keputusan inkues boleh disokong sepenuhnya atau tidak.

Berhubung inkues yang dijalankan di Mahkamah Koroner, beliau berkata ia bukanlah satu prosiding di mana ada pihak berlawanan - seperti perbicaraan di mahkamah biasa - dan aspek keterangan dan kredibiliti saksi juga tidak begitu ketat.

"Hanya perbicaraan di peringkat mahkamah jenayah akan menentukan keputusan yang konklusif, holistik dan mengikat pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 10 Julai lalu, Abdul Hamid berkata polis bercadang menubuhkan Pasukan Kajian Semula bagi menyuasat semua aspek kes kematian Adib,yang menjadi perhatian negara pada akhir 2018.

Menurutnya, antara sebab cadangan itu ialah terdapat percanggahan pendapat oleh dua pakar patologi yang menjalankan bedah siasat.

Beliau turut memaklumkan sejak keputusan Mahkamah Koroner tahun lepas - yang memutuskan Adib maut akibat perbuatan jenayah oleh "dua atau lebih orang yang tidak dikenali" - polis telah memanggil semula 31 saksi inkues dan 52 saksi baru.

Bagaimanapun, cadangan itu dibantah pihak keluarga Adib yang berpandangan polis perlu menjuruskan siasatan berdasarkan keputusan Mahkamah Koroner kerana ia "tidak pernah dicabar mana-mana pihak melalui proses rayuan atau semakan yang sah".

"Justeru, kami dengan tegas menolak sebarang keperluan untuk siasatan semula punca kematian kononnya melalui satu “pasukan kajian semula'," kata keluarga Adib dalam satu kenyataan melalui peguam mereka.

Keluarga Adib juga berkata tidak adil untuk Abdul Hamid berkata tiada saksi mata yang dapat mengesahkan Adib dibunuh kerana isu itu telah dijelaskan dalam inkues.

Mereka juga menafikan bahawa semua 31 saksi inkues telah dipanggil semula dan mendakwa ayah Adib serta beberapa saksi utama lain tidak pernah dipanggil.

Tiga isu untuk siasatan lanjut

Dalam kenyataan hari ini, Abdul Hamid menegaskan keputusan inkues hanyalah panduan kepada polis setelah meneliti keterangan saksi dan polis boleh terus menjalankan siasatan dari pelbagai aspek bagi "menyiasat segala kemungkinan".

"Terdapat kebarangkalian hasil siasatan lanjut akan tidak selaras dengan keputusan Mahkamah Koroner," katanya lagi.

Beliau juga sekali lagi berkata setakat ini tiada saksi yang benar-benar melihat kejadian itu, dengan semua keterangan bersifat "hearsay" dan pandangan.

Katanya lagi, beberapa isu memerlukan siasatan lanjut ekoran keputusan inkues iaitu Adib diserang dua atau lebih orang.

"Jika benar, pastinya wujud kesan serangan. Pasukan siasatan masih memperhalusi perkara ini bagi mendapatkan suspek sebenar atau sebarang petunjuk yang memungkinkan tangkapan.

"Pasukan juga menyiasat lanjut ke atas saksi yang tidak konsisten dalam tiga peringkat rakaman percakapan. Begitu juga dengan saksi lain inkues kerana ada yang mendedahkan beberapa maklumat dan keterangan baru.

"Isu pengisytiharan kematian (dying declaration) perlu disiasat lanjut kerana ia dikemukakan semasa inkues tanpa dicabar, dinilai kredibiliti serta kesahihannya," katanya, sambil menambah antara yang perlu diteliti adalah kemampuan arwah memberi respons ke atas 15 soalan berkenaan pengisytiharan kematian serta kesahihan kejadian menurut saksi.

Beliau berkata, sebagai menghormati keputusan Mahkamah Koroner, siasatan kes Adib tidak pernah ditutup dan masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bagi kesalahan bunuh.

"Tangkapan akan dibuat jika ada bukti dan keterangan baru sepertimana yang telah dilakukan (sebelum ini)," katanya lagi.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.