Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU mengejut: Peluang terbaik PN saat PH retak, faktor ekonomi
Diterbitkan:  Jul 14, 2020 6:09 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Bukan rahsia lagi parti-parti gabungan Perikatan Nasional bersiap sedia untuk pilihan raya umum walaupun ia tidak perlu diadakan sehingga 2023.

Pemimpin parti telah berkeliling ke pelusuk negara untuk menemui akar umbi masing-masing dan menyelesaikan "masalah-masalah" menjelang pilihan raya.

Petunjuk paling jelas datang daripada Azmin Ali yang secara tidak rasmi dianggap pemimpin nombor dua PN. Ketika di Johor, Azmin memberitahu penyokongnya pilihan raya mengejut boleh diadakan pada bila-bila masa.

Mengadakan pilihan raya dalam masa tidak lama lagi bakal menguntungkan PN kerana pesaing paling kuatnya, Pakatan Harapan kini retak dan semangat penyokongnya berada pada tahap rendah.

Laporan ini meneliti kemungkinan pilihan raya iadakan dalam waktu enam bulan dari sidang parlimen yang sedang berlangsung sehingga ditangguhkan pada 23 September.

Kemelesetan ekonomi

Menurut beberapa tokoh yang dekat dengan PN, motivasi utama untuk mengadakan pilihan raya mengejut sekarang adalah untuk mendapatkan mandat sebelum dampak penuh kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh wabak Covid-19 dirasakan oleh para pengundi.

"Pilihan raya mengejut akan diadakan paling awal pada bulan Oktober kerana kerajaan PN ingin melakukannya sebelum pembentangan belanjawan.

“Ini adalah waktu terbaik kerana terdapat pertikaian dalam Ph mengenai calon PM. Tambahan pula, keadaan ekonomi dijangka berubah menjadi buruk tahun depan dan ini paling sukar akan dirasai oleh orang Melayu, yang merupakan pangkalan sokongan PN,” kata salah satu sumber kepada Malaysiakini.

Menjelang 1 Oktober, moratorium pinjaman bank akan berakhir dan kemungkinan akan mengakibatkan ramai individu dan syarikat muflis. Ia akan memakan masa berbulan-bulan sebelum kebankrapan dicatat, terutamanya kerana RUU bantuan sementara Covid-19 belum diluluskan.

Situasi di Amerika Syarikat, yang tidak mengenakan moratorium bayaran balik, dapat menggambarkan apa yang akan terjadi. Pada bulan Mei, 4.3 juta pemilik kediaman AS kehilangan bayaran gadai janji mereka, lebih dua kali ganda dari akhir Mac, menurut CNN.

Perniagaan dan pekerjaan mungkin berisiko jika firma yang tidak memiliki pendapatan selama tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak dapat membayar pinjaman mereka.

Oleh itu, mengadakan pilihan raya umum antara bulan Oktober dan Mac, iaitu sebelum tempoh pembayaran pinjaman paling akhir atau sebelum kemunculan berita mengenai perniagaan yang merudum, dapat menguntungkan parti pemerintah.

Apec dan Belanjawan 2021

Berdasarkan apa yang diberitahu oleh Azmin kepada parlimen semalam, Putrajaya nampaknya berminat menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2020 sama ada secara telesidang atau sistem hibrid yang melibatkan peserta secara langsung dan dalam talian walaupun ketika wabak Covid-17.

Memastikan kejayaan Apec sangat penting bagi Putrajaya kerana pertemuan antara kerajaan peringkat tertinggi seperti itu jarang-jarang diadakan di Malaysia.

Sidang ini bakal melibatkan 16,000 perwakilan dari 21 negara termasuk kuasa besar seperti Rusia, China dan AS.

Menurut laman web rasmi, sidang kemuncak masih dijadualkan berlangsung antara 6 dan 12 November, yang mana tarikhnya bersamaan dengan hari pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November.

Tidak masuk akal Belanjawan 2021 akan ditunda kerana Apec kerana Rang Undang-Undang Perbekalan mesti diluluskan sebelum 1 Januari 2021.

Tidak mungkin juga Apec dapat diadakan selari dengan persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan kerana semua anggota eksekutif perlu hadir untuk mengundi pada setiap tahap pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan, memandangkan majoriti tipis PN di parlimen.

Sekiranya Apec ditangguhkan selepas sidang Dewan Rakyat berkenaan, yang berakhir pada 15 Disember, maka tidak mungkin pilihan raya berlangsung pada November dan Disember, yang menjadikan Oktober sebagai satu-satunya peluang terbaik untuk tahun ini.

Cuaca dan musim raya

Peluang seterusnya akan terbuka pada bulan Januari, menjelang Tahun Baru Cina yang jatuh pada 12 Februari 2021.

Pada bulan ini, jika berlangsung pilihan raya ia bakal berhadapan masalah logistik kerana akan menjadi penghujung musim tengkujuh, yang biasanya membawa banjir ke pantai timur semenanjung dan wilayah barat Sarawak.

Mungkin atas sebab ini, dari segi sejarah, perdana menteri Malaysia tidak begitu gemar mengadakan pilihan raya umum pada dua bulan pertama awal tahun ini.

Jendela waktu pilihan raya yang lebih menarik akan muncul pada akhir Februari dan Mac, menjelang Ramadhan yang akan bermula pada 14 April.

 [Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS