Kenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah merokok
Tiga badan pengguna mahu tenaga pegawai penguatkuasa daripada lain-lain agensi kerajaan digemblengkan bersama untuk menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam.
Tiga badan pengguna mahu tenaga pegawai penguatkuasa daripada lain-lain agensi kerajaan digemblengkan bersama untuk menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam.
Salah satu caranya untuk mencapai matlamat tersebut ialah dengan memperluaskan lagi peranan inspektor kesihatan dari majlis perbandaran dan polis, kata Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Jacob George
"Terdapat keperluan bagi kerajaan memastikan pegawai penguatkuasa mampu mengendalikan pelbagai tugas dan menguatkuasa peraturan itu di kawasan larangan merokok," katanya.
Beliau diminta mengulas pengakuan Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Lee Kah Choon bahawa penguatkuasa larangan merokok di tempat awam tidak berkesan kerana kekurangan kakitangan penguatkuasaan.
Semalam, Bernama melaporkan, keadaan itu tidak membolehkan kerajaan memperluaskan lagi kawasan larangan merokok.
Beliau juga ditanya sama ada Malaysia patut mencontohi langkah Singapura yang memperluaskan kawasan larangan merokok meliputi pusat-pusat penjaja makanan, berkuatkuasa 1 Julai depan. Larangan tersebut akan diperluaskan meliputi bar, kelab dan pusat karaoke dalam tempoh setahun lagi.
Di Malaysia, larangan merokok meliputi, antara lain, pusat hiburan seperti tempat permainan snuker, hospital, restoran berhawa dingin, terminal pengangkutan awam, kompleks sukan, premis kerajaan dan Parlimen.
Kempen Tak Nak
Jacob berkata, sekiranya tiada usaha diambil untuk meningkatkan lagi kemampuan penguatkuasaan, maka kempen Tak Nak (merokok) yang membabitkan peruntukan RM100 juta dalam tempoh lima tahun, akan menjadi satu pembaziran sahaja.
Tambahnya, adalah penting untuk melindungi kesihatan orang awam ekoran kenaikan kos penjagaan kesihatan serta trend penggubalan undang-undang di peringkat global untuk tidak membasmi tabiat merokok.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, SM Mohd Idris pula menyarankan agar kerajaan meningkatkan kerjasama antara jabatan bagi menguatkuasakan secara berkesan larangan merokok.
Tambahnya, denda yang berat harus dikenakan bagi menyekat perokok daripada melanggar larangan itu. Pada masa ini, rakyat Malaysia membayar kompaun RM100. Jumlah itu lebih rendah dibandingkan dengan denda S200 yang dikenakan ke atas pesalah di Singapura.
Presiden Fomca, president N Marimuthu pula berkata penguatkuasaan larangan merokok itu akan dapat dijalankan dengan lebih berkesan jika tanggungjawab itu diletakkan di bahu pemilik bangunan.
"Jika kerajaan mengenakan denda antara RM5,000 hingga RM10,000, mereka akan memandang berat terhadap larangan tersebut," katanya.
Masalah undang-undang?
Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Shaari Ahmad Junid turut mempersoalkan keberkesanan peraturan mengenai zon larangan merokok.
"Undang-undang itu digubal sedemikian rupa sehingga sukar hendak dikuatkuasakan. Contohnya, jabatan kesihatan perlu mendapatkan kebenaran pendakwaraya sebelum seseorang pesalah boleh dihadapkan di mahkamah," katanya merujuk kepada Peraturan Kawalan Produk Tembakau 2004.
Menurutnya, ditambah pula dengan kadar denda yang rendah, ia mengambil masa yang panjang dan sekalipus menjejaskan keberkesanan peraturan tersebut.
Shaari juga menolak dakwaan Lee bahawa bilangan pegawai penguatkuasa tidak mencukupi. Sebaliknya kata beliau, mereka yang tidak membuat rondaan secukupinya di kawasan di mana terdapat pengunjung yang melanggar peraturan larangan merokok.
"Jika setiap inspektor kesihatan memperuntukkan satu atau dua jam sehari memantau 'kawasan seumpama itu', maka ianya sudah memadai," kata Shaari.
Bagaimanapun, dakwanya, jabatan kesihatan majlis tempatan tidak menggunakan kuasa yang diberikan kepada mereka untuk menguatkuasakan larangan merokok. Terjemahan


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.