Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Apa sebenarnya isu rumah ibadat bukan Islam di Kedah?

Merujuk kepada isu perobohan tokong dan kuil oleh MBAS dan notis amaran kepada premis kedai milik persendirian yang menjalankan aktiviti agama, saya menyeru agar pihak berkuasa mewujudkan suatu polisi yang lebih menyeluruh dan bertimbang rasa sebelum mengambil sebarang tindakan.

Ia bagi mengelakkan gambaran negatif yang dikhuatiri boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dalam mempraktikkan kebebasan beragama yang sudah lama diamalkan di negara ini.

Faktor kurangnya pendedahan agama yang berbeza turut menyumbang kepada salah faham antara komuniti berbilang kaum.

Tokong kecil yang biasa didirikan di tepi jalan merupakan dewa dalam kepercayaan tradisi bagi komuniti Cina di Malaysia yang menjaga keselamatan dan kesejahteraan di kawasan tersebut dan bukannya dewa yang boleh dikumpulkan bersekali dengan dewa-dewa lain yang lebih dikenali sebagai dewa agama Tao dan bukan dewa agama Buddha.

Rumah ibadat bukan Islam sering menghadapi masalah tanah kerana di bawah garis panduan dan undang-undang sedia ada, adalah hampir mustahil untuk mendapat kedudukan yang sah bagi rumah ibadat bukan Islam biarpun di atas premis persendirian.

Gambar hiasan

Hampir 90 peratus daripada tanah di Alor Setar merupakan tanah rizab Melayu yang menyebabkan agak sukar untuk sebidang tanah memenuhi syarat yang ditetapkan bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam.

Berbeza dengan cara pengurusan masjid, kebiasaannya Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam (Ribi) dan kerajaan negeri hanya akan membenarkan sesuatu tanah digazet sebagai tanah bertujuan agama bukan Islam dengan syarat ia dikendalikan oleh organisasi berdaftar sebagai pengurusan tokong.

Akan tetapi, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan(ROS)tidak membenarkan pendaftaran organisasi pengurusan tokong sebelum memiliki tanah rizab bertujuan mengurus tokong dan hanya membenarkan penubuhan persatuan penganut sahaja.

Tambahan lagi, tiada tanah kerajaan yang dirizab untuk tujuan agama bukan Islam, maka adalah sukar dalam proses pendaftaran penubuhan organisasi agama sehingga memiliki tanah yang sah untuk rumah ibadat bukan Islam.

Skim perumahan baru

Selain daripada itu, berdasarkan garis panduan perancangan bandar, rizab khas di bawah skim perumahan baru hanya akan menimbangkan permohonan daripada penganut yang merupakan majoriti penduduk di kawasan tersebut.

Di bawah sistem kuota perumahan di kawasan seperti Alor Setar atau Kedah, kaum bukan Islam adalah penduduk minoriti di hampir kesemua kawasan perumahan yang baru dan adalah tidak layak memohon sebarang tanah rizab khas sebagai tanah rumah ibadat untuk penganut bukan Islam.

Maka, dalam keadaan begini, golongan bukan Islam tiada pilihan selain daripada berhenti mempraktikkan agama mereka ataupun terpaksa mempraktikkannya dalam keadaan yang tidak mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT)

Memandangkan kepercayaan beragama merupakan perkara yang penting bagi manusia sejagat, maka pihak berkuasa harus mencari jalan penyelesaian supaya keharmonian masyarakat majmuk ini dapat dikekalkan.

Saya menyarankan agar isu ini dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam dan mendapat pandangan yang seluasnya sebelum mengambil tindakan supaya hasil polisi tersebut lebih bertimbang rasa dan dapat memberikan keadilan buat semua.


CHAN MING KAI ialah anggota parlimen Alor Setar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

ADS