Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno tak jadi teruskan saman 9 ahli parlimen tinggalkan parti
Diterbitkan:  Jul 15, 2020 10:42 AM
Dikemaskini: 2:42 AM

Umno mengambil keputusan menggugurkan tuntutan mereka terhadap sembilan ahli parlimen yang meninggalkan parti berkenaan selepas pilihan raya umum (PRU) lalu untuk menyertai Bersatu.

Menurut Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pihaknya membuat keputusan itu kerana kedua-dua parti berkenaan kini bersekutu dalam Perikatan Nasional (PN).

"Kami sekarang telah menjadi rakan politik," katanya seperti dipetik Free Malaysia Today semalam.

"Saya telah mengarahkan peguam untuk menggugurkan saman itu," tambahnya.

Sementara itu seorang daripada peguam yang mewakili Umno dalam saman tersebut, Mohamed Apandi Ali, memberitahu Malaysiakini beliau masih menunggu arahan secara menulis berhubung perkara berkenaan.

Pada Ogos 2019, Umno memfail tindakan undang-undang terhadap sembilan ahli parlimen atas alasan pecah amanah dan meminta ganti rugi sebanyak RM200,000 setiap seorang.

Mereka ialah Mustapa Mohamed (Jeli), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Hamzah Zainudin (Larut), Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Mereka mengisytiharkan keluar dari Umno pada lewat 2018 seterusnya menyertai Bersatu pada awal 2019. Selepas penubuhan kerajaan baru, kebanyakan mereka dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Mustapa diangkat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), manakala Hamzah dijadikan Menteri Dalam Negeri. Abdul Latiff pula diberikan jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Ikmal kini menjadi timbalan menteri pertahanan, Noor Azmi timbalan menteri kesihatan, Rosol timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, Mas Ermieyati pula timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

Shabudin baru-baru ini dilantik menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Perbicaraan untuk saman berkenaan - yang difailkan di mahkamah tinggi di seluruh negara - masih belum dimulakan kerana bantahan awal yang dikemukakan.

Umno kini hanya mempunyai 39 anggota parlimen berbanding 54 kerusi parlimen dimenangi pada PRU 2018.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS