Paling Popular
Terkini

PARLIMEN l  Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh hari ini menuntut penjelasan berhubung apa yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam menangani masalah pelarian di ibu negara, susulan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang melarang pemilik rumah daripada menyewakan rumah mereka kepada pendatang tanpa dokumen.

Namun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun sekadar menjelaskan terdapat pusat transit untuk pelarian ini.

Ahad lalu, portal The Malaysian Insight melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 700 pelarian Rohingya kehilangan tempat tinggal mereka di Kuala Lumpur minggu lalu.

FMT pula melaporkan DBKL mengarahkan pemilik agar tidak menyewakan rumah mereka kepada pendatang tanpa sejak akhir Mei lalu.

Malaysia bukan negara penandatangan konvensyen pelarian PBB, menjadikan status pelarian di h di negara ini berada dalam samar-samar.

Yeoh berkata isu ketiadaan tempat tinggal di kalangan pelarian di ibu negara boleh menjadi masalah keselamatan jika Majlis Keselamatan Nasional, dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat tidak menyelaraskannya dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Rina pula dalam jawapannnya berkata, bahawa pihak kementeriannya telah bekerjasama dengan kementerian dalam negeri mengenai pelarian termasuk sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Di pihak kementerian, bukan sahaja ketika waktu PKP, juga ada beberapa pelarian, termasuk Rohingya dan lain-lain, kita kerjasama dengan KDN kerana bila isu berkaitan dengan warga asing.

“Kita perlu dapat pandangan dan pendapat bukan sahaja dari KDN tapi kementerian luar ini akan dikemaskini dari masa ke semasa.

“Tapi yang penting kanak-kanak di bawah Akta Kanak-kanak kita akan pastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Yeoh, yang adalah bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga, dan masyarakat, mencelah dan berkata bahawa soalannya belum dijawab.

Yeoh: Soalan saya belum dijawab, saya tanya apa perancangan terdekat? Mereka sedang dikeluarkan dari premis dan ini akan menyebabkan masalah gelandangan dan angka akan naik.

Kalau kita masih dalam perbincangan, tapi PBT (pihak majlis tempatan - DBKL) sudah buat.

Rina: YB kata akan dikeluarkan, maksud belum dikeluarkan lagi?

Yeoh: Mesej dah viral, NGO sedang cari tempat, tak tahu nak pergi mana. Kerajaan kata mereka tak boleh duduk rumah, mereka tak boleh keluar, sebab itu...

Rina: Kita ada pusat transit untuk pelarian-pelarian ini.

Yeoh: Adakah sudah jumpa UNHCR?

Timbalan speaker Rashid Hasnon kemudian mencelah dengan berkata bahawa menteri tidak perlu memberikan jawapan, kerana ini bukan perbahasan dan bahawa jawapan yang diberikan semasa pertanyaan lisan sudah memadai.

Ketika dihubungi, Yeoh memberitahu bahawa ini boleh menyebabkan masalah yang lebih besar jika tidak diselesaikan.

“Akhirnya, ini akan jadi masalah sekuriti, kesihatan dan keselamatan jika tidak dibincangkan dengan UNHCR,” katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS