Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengarah Jepak mengaku bayar RM6.5j pada Rosmah - saksi

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa pengarah urusan Jepak Holdings (Jepak) Saidi Abang Samsudin mengaku membayar RM6.5 juta kepada Rosmah Mansor atas bantuannya kepada syarikat itu dalam mendapatkan projek solar hibrid di Sarawak.

Rayyan Radzwill Abdullah yang merupakan rakan perniagaan Jepak berkata, bayaran itu dilakukan oleh Saidi dalam dua penyerahan berasingan, dan jumlahnya dimaklumkan kepadanya oleh Saidi selepas pembayaran dibuat.

Dalam pernyataan saksinya, kata Rayyan, bayaran pertama berjumlah RM5 juta dibuat melalui bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor sebagai sumbangan kepada Rosmah “seperti yang telah dijanjikan” kerana membantu Jepak mendapatkan surat setuju terima (SST) bagi projek berkenaan.

Rizal Mansor 

Katanya, hal itu diberitahu Saidi kepadanya dalam satu perjumpaan dengannya pada Disember 2016.

Bayaran kali kedua pula dibuat pada September 2017 ketika Rayyan dan Saidi ke rumah Rosmah di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, untuk mengadakan perjumpaan dengan isteri kepada bekas perdana menteri Najib Razak itu.

Rayyan berkata, pada masa itu, dia dapat melihat pemandu Saidi masuk dan meletakkan dua beg galas berwarna hitam yang mempunyai “stripe” (belang) berwarna oren di tepi sofa berwarna hijau di ruang tamu rumah Rosmah, sambil menunggu Rosmah keluar menemui mereka.

Dalam perjumpaan berkenaan, katanya, Saidi memberitahu Rosmah bayaran lain akan menyusul berdasarkan bayaran kemajuan projek berkenaan, sementar Rosmah sekadar mengangguk dan berkata “okaylah”, tanpa menunjukkan rasa terkejut dengan pemberian wang itu.

“Rosmah juga tidak kelihatan terkejut dengan pemberian wang tersebut, saya faham wang tersebut diberikan oleh Saidi sebagai tanda terima kasih bagi pemberian solar hibirid Jepak tersebut.

“[...] Saya hanya tahu dua beg galas tersebut mengandungi wang tunai berjumlah RM1.5 juta selepas diberitahu oleh Saidi semasa kami beredar dari rumah Rosmah,” katanya.

Selain itu, kata Rayyan lagi, pada hari bayaran pertama dibuat, dia dan Saidi juga berjumpa Rizal di rumahnya pada sebelah malam, dan Saidi menyerahkan RM500,000 kepada Rizal sebagai ganjaran kerana membantu Jepak dalam mendapatkan projek itu.

Rayyan turut mengakui menerima cek RM1 juta daripada Saidi pada Ogos 2017 sebagai “upah konsultan” untuk segala kerjanya dalam mendapatkan projek berkenaan.

“Saidi juga pernah mengatakan kepada saya bahawa beliau akan membayar kepada saya lebih kurang RM10 juta lagi untuk khidmat konsultansi bagi projek ini. Tapi sehingga kini saya tidak menerima yang yang dijanjikan tersebut,” tambahnya.

Jelas Rayyan, Jepak hanya menerima bayaran pertama bagi projek solar hibrid dan penyelenggaran genset diesel sebanyak RM63 juta pada 2017, seperti dimaklumkan Saidi kepadanya pada hujung bulan Julai 2017.

Rayyan menyambung keterangan yang diberikannya semalam, sebagai saksi ke-16 perbicaraan rasuah membabitkan Rosmah di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi, sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak.

Projek itu bernilai RM1.25 bilion, diperoleh secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perbicaraan akan bersambung selepas rehat makan tengah hari sebentar lagi.

Lihat Komen
ADS