Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asyraf Wajdi: Pemuda BN bosan politik huru-hara, perkauman

Pemuda BN mendakwa anak muda di negara ini bosan dengan poilitik haru-biru serta perkauman dan agama.

Justeru kata ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, penting untuk orang politik di negara ini mengembalikan nilai-nilai yang menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara yang harmoni.

"Orang muda bosan dengan politik haru-biru hari ini, mereka tidak mahu membicarakan soal politik berteraskan kaum dan agama walaupun kita bukan menafikan ia perkara asas yang menyentuh soal negara.

"Selama 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, timbul isu perkauman sebab kerajaan cuba merobek perkara yang menjadi asas negara ini," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Oleh itu tambah Asyraf Wajdi, wakil rakyat perlu menunjukkan teladan yang baik ketika berbahas dalam parlimen.

Isnin lalu, sidang Dewan Rakyat berlangsung kali kedua di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyaksikan beberapa kekecohan.

Misalnya berkenaan usul menggantikan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, dengan seorang peguam Azhar Harun. Ia mendapat bantahan kerana dianggap tidak perlu, selain tidak pernah berlaku sebelum ini.

Bagaimanapun usaha PN menyingkirkan bekas hakim mahkamah tinggi itu berjaya apabila usul dikemukakan Muhyiddin mengatasi bantahan pembangkang dengan perbezaan dua undi.

Seramai 111 ahli parlimen - termasuk Muhyiddin sendiri - menyokong usul berkenaan manakala 109 lagi membantah.

Sidang juga kecoh apabila Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim membuat kenyataan yang dianggap seksis dan rasis terhadap Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan).

Mengulas lanjut Asyraf Wajdi berkata, meskipun berlaku perbezaan pandangan perdebat di Dewan Rakyat harus berlangsung dengan tertib dan berakhlak.

"Kita tak pernah menghalal atau merelakan parlimen itu dijadikan pentas untuk kita saling maki-memaki atau berbicara tanpa adab dan akhlak.

"Parlimen adalah dewan yang mulia tempat suara rakyar harus dibahas dengan beradab, berakhlak dan berasaskan fakta bukan auta," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS