Pertelagahan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sepatutnya reda seketika sewaktu kedua-duanya kini bercuti ke luar negara.

Namun, isu tersebut berlanjutan apabila Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin pula mencadangkan khidmat orang tengah digunakan untuk mencari penyelesaian terhadap kemelut tersebut.

Malaysiakini menemui beberapa orang pemimpin Barisan Nasional untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai perkara tersebut.

Datuk Hishamuddin Hussein, menteri pendidikan dan Ketua Pemuda Umno.

Adakah Datuk merasa penjelasan kerajaan terhadap soalan Dr Mahathir memuaskan?

Bagi mereka yang mahu mendengarnya, ia akan diterima dengan hati yang terbuka. Dari maklumbalas yang saya terima, ia adalah penjelasan yang memuaskan. Tetapi bagi mereka yang tidak mahu mendengar, tidak kira apa juga yang anda katakan, ia tidak akan memuaskan permintaan mereka...ia bergantung kepada siapakah orang itu.

Jika anda tanya saya, saya merasakan kita akan terus memberi penjelasan sebaik yang termampu dan mereka yang mahu mendengar, akan mengadili kita. Tetapi bagi mereka yang tidak mahu mendengarnya, pada akhirnya, apa jua yang kita katakan, tidak akan memberi sebarang makna kepada mereka.

Kita memberi penjelasan kepada rakyat kerana rakyatlah yang akan menentukan masa depan kita dalam pilihanraya akan datang.

Jadi adakah Datuk berpendapat Dr Mahathir patut menerima penjelasan tersebut?

Bukan saya yang harus memutuskannya, ia terserah kepada Tun (Dr Mahathir) untuk memutuskannya.

Datuk Radzi Sheikh Ahmad, Menteri Dalam Negeri dan Setiausaha Agung Umno:

Saya tidak melihatnya sebagai satu debat. Tidak ada debat. Ianya hanya perbezaan pendapat. Itu sahaja.

Apakah cara terbaik untuk mengakhir pertelagahan ini?

Penyelesaian terbaik ialah tunggu dan lihat sehingga semuanya berakhir. Bersabarlah, ia akan berakhir.

Bagaimana dengan cadangan menggunakan orang tengah?

Idea tersebut belumlagi dikemukakan kepada sesiapa pun, saya pasti pihak parti belum tahu mengenainya.

Adalah Datuk merasakan Dr Mahathir akhirnya akan berhenti membangkitkan persoalan tersebut?

Mungkin, saya harap begitulah...beliau akhirnya akan berhenti berbuat demikian.

Adakah Datuk merasakan pihak kerajaan patut menjawab semua soalannya?

Ya, bila beliau mahukan jawapan, kita akan memberi beliau jawapannya. Sebagai menghormati beliau, kita akan memberi jawapan.

Selepas itu, apakah beliau akan berhenti mengkritik?

Saya rasa begitulah. Ia bukan perkara besar, kita telah menyelesaikan masalah ini sebelum ini. Apabila perdana menteri baru mengambil alih, bekas perdana menteri akan sentiasa komplen dan kemudiannya keadaan kembali seperti sediakala.

Perdana Menteri sekarang tidak menjawab kerana misi utamanya ialah untuk memastikan kejayaan Rancangan Malaysia Kesembilan. Beliau berkerja untuk negara dan rakyat. Jadi mengapa bimbang, kita perlu menyokongnya.

Datuk S Veerasingam, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna dan Naib Presiden MIC.

Bekas Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang adalah kawan baik. Kedua-duanya dari Umno. Saya yakin mereka akan dapat menyelesaikan masalah sesama mereka, tidak kira apa juga masalahnya dan kerajaan juga bersikap terbuka. Apa juga yang ditanya oleh bekas Perdana Menteri, pihak kerajaan sedia menjelaskan kepada beliau. Jika orang tengah boleh membantu, ia sentiasa dialu-alukan.

Perkara yang paling penting ialah kita menghormati apa juga sumbangan yang dibuat oleh bekas Perdana Mengteri dan beliau pula mesti penyokong kerajaan hari ini. Ini merupakan isu rakyat dan tiada apa yang hendak disembuny ikan.

Datuk Dr Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan dan Ketua Wanita MCA.

J ika wujud perbeza pendapat, sama ada ianya dalam keluarga, individu atau pertubuhan, kita mahukan penyelesaian yang baik. Jadi, tidak kira apa juga pendirian BN, jika terdapat perbezaan pendapat, kita mesti berusaha untuk menyelesaikannya.

Adakah Datuk rasa pihak kerajaan telah memberi jawapan yang memuaskan?

Saya rasa sama ada jawapannya memuaskan atau tidak, bergantung kepada orang yang menerima jawapan tersebut. Bagi saya, apa juga maklumat yang telah dinyatakan kepada rakyat, itulah dia.

Adakah Datuk merasakan Dr Mahathir akan menerima jawapan tersebut dan tidak menyoal lagi?

Kerajaan telah dan akan memberi jawapan, tetapi sama ada beliau menerimanya atau tidak, itu saya tidak tahu. Kita tunggu dan lihat bagaimana Tun (Dr Mahathir) menerima jawapan tersebut.

Adalah Datuk merasa jawapan tersebut memuaskan?

Saya gembira dengan penjelasan kerajaan itu. Suasana telah berubah, tiada suatupun yang kekal, isu-isu juga melalui perubahan yang dinamik. Bagaimanapun, saya amat yakin ia akan selesai dengan baik.

Wong Nai Chee, Ahli Parlimen MCA Kota Melaka.

Saya rasa jika ada orang tengah, ianya adalah untuk menyelesaikan masalah peribadi. Tidak kira setakat manapun peranan orang tengah, faedah untuk rakyat tidak boleh dikompromi. Saya rasa keputusan-keputusan yang dibuat oleh perdana menteri dan kabinetnya adalah untuk faedah rakyat.

Beliau (Mahathir) mesti menerima keputusan pentadbiran sekarang kerana sesetengah daripada keputusan politik mesti dibuat mengikut keadaan...anda tidak boleh melihat sesuatu keadaan itu berdasarkan kepada pertimbangan yang dibuat dua tahun lalu.

Apa yang mengelirukan saya ialah mengapa bekas Perdana Menteri bercakap banyak sedangkan beliau juga melakukan perkara yang sama sebelum ini. Saya tidak faham mengapa begitu banyak sekali soalannya. Beliau sendiri tahu mengapa keputusan itu dibuat sewaktu pentadbirannya dan mengapa mereka membatalkan keputusannya. Saya melihatnya sebagai satu konflik pendapat dan karakter.

Loh Seng Kok, Ahli Parlimen MCA Kelana Jaya.

Kedua-duanya adalah pemimpin veteran. Saya tidak lihat mengapa mereka memerlukan orang tengah. Mereka adalah rakan pentadbir dan berkhidmat dalam kabinet, malah (Dr Mahathir) memilih (Pak Lah) sebagai penggantinya, jadi mengapa perlu ada orang tengah?

Bagaimanapun, kita tidak tahu sama ada wujud salahfaham antara mereka berdua. Mungkin Dr Mahathir merasakan dasar-dasar itu diubah selepas beliau bersara. Jika itulah sebabnya, maka beliau perlu berbincang dengan Perdana Menteri sekarang secara peribadi. Mengapa mereka tidak membincangkan perkara tersebut semasa kedua-duanya berada di Jepun?

Kerajaan bukan sahaja perlu menjelaskan kepada Dr Mahathir tetapi juga kepada rakyat. Inilah yang patut dilakukan oleh kerajaan, apa juga projek mesti diumumkan kepada rakyat.

Adakah penjelasan kerajaan sudah mencukupi?

Semua perkara boleh diperbaiki lagi.

Chew Mei Fun, Timbalan Ketua Wanita MCA

Mereka akan menyelesaikan masalah itu sesama mereka. Terjemahan