Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1MDB beli Tanjong Energy RM 10.6b: Peguam Najib dakwa ada komplot
Diterbitkan:  Jul 15, 2020 3:56 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

KES 1MDB | Pasukan pembelaan Najib Razak hari ini cuba mencadangkan bahawa bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi bersubahat dengan Goldman Sachs dalam pemerolehan Tanjong Energy Holdings Bhd.

Semasa pemeriksaan balas oleh Wan Aizuddin Wan Mohamed hari ini, Shahrol berulang kali membantah cadangan bahawa Goldman Sachs diupah supaya dia mendapat bahagian daripada perjanjian RM10.6 bilion itu.

Aizuddin juga berusaha membuktikan terdapat "rancangan" untuk memesongkan 1MDB terhadap penilaian Tanjong bernilai RM10.6 bilion.

Perjanjian itu dibuat di hadapan mesyuarat lembaga 1MDB pada 8 Februari 2012 dengan taklimat oleh sepasukan pegawai Goldman Sachs, termasuk ketua rantau Asia Tenggara Tim Leissner.

Merujuk kepada minit mesyuarat lembaga, Aizuddin menuduh Shahrol menolak kebimbangan ahli lembaga VJ Ashvin bahawa harga tempahan terlalu tinggi, memandangkan terdapat sedikit pembeli berpotensi.

Ashvin juga mencadangkan Ananda Krishnan, pemilik Tanjong pada masa itu, ialah penjual yang memang bersedia melupuskan aset tersebut walaupun harga tempahan tidak dipenuhi.

Bagaimanapun, Shahrol menolak cadangan Aizuddin dan pengurusan 1MDB menyokong penilaian RM10.6 oleh Goldman Sachs.

Aizuddin: Saya katakan kepada kamu bahawa kamu menolak komen Ashvin ini dan menyokong cadangan harga oleh Goldman berdasarkan penilaian kononnya berdasarkan dokumen pubik tanpa akses terhadap data yang tepat.

Shahrol: Saya tidak setuju. Kami mempunyai akses terhadap akaun yang diaudit, untuk menyatakan kami hentam (sewenang-wenangnya menetapkan) harga sangat tidak tepat.

Akhirnya, lembaga tersebut meluluskan pemerolehan tersebut. Sehari kemudian, menteri kewangan Najib Razak ketika itu, bagi pihak Kementerian Kewangan Diperbadankan - pemilik utama 1MDB - menandatangani dokumen yang memulakan pemerolehan tersebut.

Sebulan kemudian, pemerolehan itu selesai dan Goldman Sachs dibayar satu peratus daripada tawaran tersebut.

Secara rasmi, Goldman Sachs dilantik sebagai penasihat 1MDB untuk perjanjian itu pada 7 Februari 2012 - sehari sebelum mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

Bagaimanapun, Shahrol memberi keterangan Goldman Sachs sudah mula bekerja dua bulan sebelum perjanjian itu.

Shahrol menjelaskan bahawa 1MDB telah bergantung kepada pasukan Goldman Sachs untuk melakukan pemeriksaan yang sewajarnya (due dilligence) sebelum perjanjian dibuat.

"Leissner mempunyai hubungan yang erat (dengan mereka yang berada dalam industri tenaga Malaysia). Dia mempunyai saluran belakang untuk berunding.

"Dia dapat mengetahui selera untuk penjual ketika itu," katanya.

Gambar fail.Tim Leissner.

Aizuddin: Tidakkah kamu fikir dia akan mengambil peluang manfaat daripada 1MDB?

Shahrol: Saya percayakan dia dan Goldman Sachs akan bertindak profesional.

Aizuddin: Saya menyatakan bahawa kamu bersetuju dengan harga tempahan ini sebanyak RM10.6 bilion tanpa mengetahui berapa harga tempahan (ditetapkan oleh) UTSB.

Shahrol: Saya setuju.

UTSB adalah Usaha Tegas Sdn Bhd, syarikat pegangan pelaburan yang diketuai oleh Ananda.

Aizuddin kemudian akan bertanya kepada Shahrol jika dia sedar bahawa Leissner juga terlibat dalam IPO Maxis Bhd.

Pada satu ketika, Aizuddin juga mencadangkan Leissner pernah mempunyai "hubungan romantis" dengan seorang pegawai daripada salah satu syarikat Ananda, yang memberi Goldman Sachs kelebihan untuk diambil berkhidmat dalam pengeluaran IPO.

Shahrol cuma menjawab bahawa dia tidak sedar hubungan peribadi Leissner, tetapi mengambil maklum hubungannya dengan individu-individu dalam industri tenaga.

Mengenai peranan Najib dalam perjanjian itu, Aizuddin berkata tandatangan menteri kewangan ketika itu hanyalah formaliti, kerana lembaga itu sudah membuat keputusan.

Untuk itu, Shahrol berkata ia adalah sebahagian daripada proses persetujuan.

Pada tahun 2018, Leissner mengaku bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah, dalam hubungan dengan skandal 1MDB, di mahkamah AS. Bekas syarikatnya pula berhadapan denda RM2 bilion.

Shahrol memberi keterangan dalam perbicaraan Najib, di mana bekas perdana menteri dituduh menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan daripada dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS