Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Sejumlah lima anggota kabinet yang belum menyerahkan pengisytiharan harta, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bercakap di Dewan Rakyat, Muhyiddin berkata beliau mengambil berat tentang perkara itu.

"Dalam pengisytiharan harta, (masa yang diberikan) bukan sebulan, (tetapi) tiga bulan. Bagi saya masa yang diberikan mencukupi.

"Dalam senarai kabinet, sebanyak 97 peratus telah serahkan (pengisytiharan harta). ada lima orang lagi (belum berbuat demikian).

"Saya tak perlu sebut (siapa). Saya akan ambil perhatian berat dan minta ia disegerakan. Begitu juga di peringkat timbalan menteri dan anggota Parlimen," katanya.

Muhyiddin (PN-Pagoh) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Teo Nie Ching (PH-Kulai) berhubung status pengisytiharan harta oleh kabinet Perikatan Nasional (PN).

Pada Mac lalu, Muhyiddin berjanji untuk kabinetnya membuat pengisytiharan harta.

Kerajaan PH sebelum ini telah membuat ketetapan bagi semua anggota Parlimennya untuk mengisytiharkan harta mereka.

Muhyiddin berkata, pihak anggota Parlimen Perikatan Nasional (PN) memerlukan sedikit masa untuk melakukan perkara yang sama.

"Saya ucap tahniah di sebelah sana (PH), saya dengar sudah selesai kerana pada pentadbiran lalu semua sudah isytihar.

"Tetapi di sini (PN) masih banyak yang baru, maka memerlukan sedikit masa," katanya.

Pada Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Takiyuddin Hassan dalam jawapan bertulis berkata PN akan meneruskan amalan pengisytiharan harta secara terbuka di laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Takiyuddin berkata setakat 6 Julai lalu, seramai 43 anggota Parlimen yang belum menyerahkan pengisytiharan harta mereka.

Lihat Komen
ADS